KUALA LUMPUR – Seramai 13 lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan dan rusuhan di hadapan sebuah pusat hiburan di sekitar Kepong, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar pukul 8 pagi.
“Bertindak atas maklumat, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur telah menahan kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 45 tahun.
“Hasil siasatan mendapati kejadian pergaduhan dipercayai berpunca daripada tindakan seorang pelanggan dalam keadaan mabuk di premis berkenaan dan telah mencetuskan kekecohan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek direman sehingga 16 April dan rampasan telah dibawa ke IPD Sentul. Kertas siasatan juga telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menyalurkan maklumat atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03- 40482222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – KOSMO! ONLINE














