fbpx
PENGGUNAAN AI tidak lagi terhad kepada kerja atau pembelajaran semata-mata tetapi turut melibatkan urusan harian yang kecil. – GAMBAR HIASAN

Semak data dikongsi AI, jangan terus terima bulat-bulat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KECERDASAN buatan atau artificial intelligence (AI) kini semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan harian masyarakat moden.

Jika suatu ketika dahulu teknologi ini hanya tertumpu kepada sektor industri dan penyelidikan, hari ini AI telah meresap masuk ke dalam rutin harian melalui penggunaan telefon pintar dan komputer peribadi.

Menurut Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, Dr. Nur Syazwani Ahmad, perkembangan ini menjadikan AI bukan lagi sesuatu yang eksklusif, sebaliknya alat praktikal yang membantu pengguna menyelesaikan pelbagai tugasan dengan lebih pantas dan efisien.

“Menariknya, penggunaan AI tidak lagi terhad kepada kerja atau pembelajaran semata-mata tetapi turut melibatkan urusan harian yang kecil, namun memerlukan masa dan perhatian.

“Kemunculan aplikasi seperti ChatGPT dan Gemini menjadikan AI seolah-olah pembantu peribadi digital yang sentiasa tersedia,” terangnya dalam satu perkongsian artikel bersama K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, faktor utama yang menyumbang kepada penerimaan pantas teknologi ini ialah kemudahannya untuk digunakan.

Antara muka yang mesra pengguna membolehkan sesiapa sahaja mengaksesnya tanpa memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi.

Hanya dengan menaip soalan atau arahan dalam bahasa harian, pengguna boleh memperoleh jawapan yang tersusun dan mudah difahami.

Jelas Nur Syazwani lagi, akses kepada aplikasi ini semakin meluas melalui pelbagai platform termasuk telefon pintar, komputer, dan integrasi dengan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, menjadikan AI semakin dekat dengan kehidupan seharian.

“Salah satu penggunaan AI yang semakin popular ialah dalam perancangan percutian, khususnya dalam kalangan generasi muda seperti Gen Z.

“Dengan hanya memberikan maklumat asas seperti destinasi, tempoh perjalanan dan bajet, AI mampu menghasilkan itinerari lengkap yang merangkumi cadangan tempat menarik, waktu perjalanan, pilihan makanan serta anggaran kos,” ujarnya.

Sebagai contoh, bagi percutian ke Langkawi selama tiga hari, AI boleh menyusun jadual yang seimbang antara aktiviti santai dan lawatan menarik.

Ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah membantu pengguna membuat keputusan dengan lebih teratur tanpa perlu melakukan carian maklumat secara berasingan.

Selain itu, AI juga membantu dalam merancang masa perjalanan yang lebih sesuai. Dalam situasi seperti musim cuti sekolah atau perayaan, pengguna boleh mendapatkan cadangan waktu terbaik untuk bergerak bagi mengelakkan kesesakan, contohnya ketika menuju ke Johor Bahru.

Walaupun maklumat tersebut masih perlu disahkan melalui sumber semasa seperti aplikasi trafik, AI tetap memainkan peranan penting dalam memberikan gambaran awal yang memudahkan perancangan.

“Dalam konteks kehidupan di rumah, AI turut membantu dalam penyediaan makanan. Pengguna boleh menyenaraikan bahan yang tersedia dan meminta cadangan menu yang mudah serta cepat disediakan.

KEMUNCULAN aplikasi seperti ChatGPT dan Gemini menjadikan AI seolah-olah pembantu peribadi digital yang sentiasa tersedia.
– Gambar hiasan Solen Feyissa

“Ini amat berguna bagi individu yang mempunyai kekangan masa seperti ibu bapa yang pulang bekerja dan ingin menyediakan hidangan dalam tempoh singkat,” tambahnya.

Ujarnya lagi, AI secara tidak langsung mengurangkan beban membuat keputusan harian yang sering dianggap remeh tetapi memakan masa. Bagi urusan membeli-belah pula, AI membantu pengguna membuat perbandingan sebelum membuat keputusan pembelian.

Sebagai contoh, apabila ingin membeli telefon pintar baharu, pengguna boleh mendapatkan cadangan berdasarkan bajet, spesifikasi dan keperluan penggunaan.

Ini memberikan gambaran awal yang membantu pengguna membuat pilihan lebih bijak sebelum melakukan semakan lanjut di kedai atau platform dalam talian.

Nur Syazwani turut berkongsi, dalam komunikasi harian, AI juga semakin digunakan untuk membantu menulis mesej dan e-mel. Ia mampu menghasilkan draf dengan bahasa yang lebih tersusun dan profesional.

“Dalam kalangan pelajar pula, AI berfungsi sebagai alat sokongan pembelajaran yang fleksibel.

“Pelajar boleh meminta penjelasan semula bagi topik yang sukar dalam bahasa yang lebih mudah difahami, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka di luar waktu kelas,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, di sebalik segala kemudahan ini, pengguna perlu sedar bahawa AI hanyalah alat sokongan dan bukan pengganti sepenuhnya kepada pertimbangan manusia.

Maklumat yang diberikan adalah berdasarkan data sedia ada dan mungkin tidak sentiasa tepat dengan situasi semasa.

Oleh itu, amalan menyemak semula maklumat melalui sumber rasmi adalah sangat penting dan sikap berhati-hati serta berfikir secara kritis perlu berjalan seiring dengan penggunaan teknologi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN