PERALIHAN dasar tenaga solar di Malaysia memasuki fasa baharu apabila Solar Accelerated Transition Action Programme (ATAP) mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, menggantikan mekanisme Net Energy Metering (NEM).
Perubahan ini bukan sekadar pelarasan polisi tetapi mencerminkan evolusi menyeluruh dalam cara perniagaan menilai pelaburan tenaga boleh diperbaharui, khususnya dari segi risiko, pulangan dan strategi jangka panjang.
Sebelum ini, pemasangan sistem solar atas bumbung dalam sektor komersial dan perindustrian dilihat sebagai pelaburan yang relatif stabil dan mudah dirancang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif EFS Group, Darren Tan, perniagaan lazimnya menentukan saiz sistem berdasarkan unjuran penggunaan dan kadar pulangan yang boleh dijangka.
“Namun, di bawah ATAP, pendekatan tersebut tidak lagi mencukupi. Perniagaan kini perlu mengambil kira faktor dinamik seperti harga elektrik borong, keadaan grid dan corak permintaan tenaga yang berubah setiap 30 minit melalui mekanisme System Marginal Price (SMP).
“Walaupun konsep kredit bagi lebihan tenaga masih dikekalkan, pulangan kini lebih bergantung kepada purata SMP bulanan. Ini menjadikan hasil daripada eksport tenaga solar lebih tidak menentu berbanding sebelum ini,” katanya menerusi perkongsian artikel bersama K-Tekno baru-baru ini.
EFS Group merupakan sebuah syarikat penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui yang beroperasi di Malaysia.
Oleh itu, jelas beliau, penentuan saiz sistem tidak boleh lagi dibuat secara umum, sebaliknya perlu disandarkan kepada analisis terperinci profil penggunaan tenaga sebenar.
Salah satu perubahan ketara di bawah ATAP ialah fleksibiliti dalam kapasiti pemasangan. Pengguna bukan domestik kini dibenarkan memasang sistem sehingga 100 peratus daripada permintaan maksimum mereka, tertakluk kepada had 1MW.
“Ini membuka peluang besar kepada perniagaan dengan penggunaan tenaga tinggi pada waktu siang untuk mengoptimumkan penggunaan sendiri dan mengurangkan kebergantungan kepada grid.
“Namun begitu, mekanisme Maximum Allowable Quantity (MAQ) memperkenalkan had kepada jumlah tenaga yang boleh dikreditkan bagi setiap tempoh bil,” tambah Darren.
Kongsinya lagi, sebarang lebihan yang melebihi had ini tidak akan dibawa ke bulan berikutnya. Keadaan ini menjadikan ketepatan dalam reka bentuk sistem sebagai faktor kritikal bagi memastikan pulangan maksimum.
Dalam konteks kewangan, pelaburan solar kini semakin kompleks. Faktor seperti turun naik harga gas asli, kesesakan grid dan lonjakan permintaan tenaga memberi impak langsung kepada pulangan.
Analisis industri menunjukkan bahawa sistem solar di bawah ATAP masih mampu mencapai tempoh pulangan sekitar tiga hingga empat tahun terutamanya melalui penggunaan sendiri tenaga yang dijana. Tambahan pula, integrasi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) mula mendapat perhatian sebagai komponen penting dalam meningkatkan kecekapan dan pulangan.
Ujar Darren, BESS membolehkan tenaga disimpan dan digunakan pada waktu yang lebih strategik, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada turun naik harga SMP.
Dalam beberapa kes, pelaksanaan BESS secara berdiri sendiri mampu mencapai pulangan pelaburan dalam tempoh dua hingga empat tahun, bergantung kepada strategi operasi.
“Walau bagaimanapun, tidak semua perniagaan mendapat manfaat yang sama. Syarikat dengan penggunaan tenaga yang konsisten sepanjang hari dan minggu seperti kilang beroperasi 24/7, pusat data dan kemudahan storan sejuk berada dalam kedudukan terbaik untuk memaksimumkan penggunaan sendiri.

– Gambar hiasan
“Sebaliknya, perniagaan dengan operasi terhad kepada waktu pejabat atau hari bekerja berisiko mengeksport lebihan tenaga pada harga pasaran yang lebih rendah,” ujarnya.
Perubahan ini turut mencerminkan kematangan pendekatan Malaysia terhadap tenaga boleh diperbaharui.
Berbeza dengan model terdahulu yang bergantung kepada kuota dan subsidi, ATAP menggalakkan perniagaan membuat keputusan berdasarkan keperluan operasi dan pertimbangan kewangan sebenar.
Ini menjadikan solar sebagai aset strategik, bukan lagi sekadar inisiatif penjimatan kos.
Lebih penting, peralihan ini berlaku dalam konteks global yang semakin menekankan pematuhan karbon dan kelestarian.
Kos untuk tidak beralih kepada tenaga hijau kini semakin meningkat, didorong oleh faktor seperti pelarasan sempadan karbon, keperluan rantaian bekalan global dan tekanan pembiayaan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Dalam keadaan ini, pelaburan solar bukan sahaja mengenai pulangan tetapi juga daya saing jangka panjang. Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan ATAP, sokongan daripada pihak berkepentingan adalah sangat penting.
Ini termasuk penyediaan alat pemodelan yang mudah diakses, panduan teknikal yang jelas serta data harga SMP yang telus. Tanpa sokongan ini, perniagaan kecil dan sederhana mungkin berdepan kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan keperluan baharu.















