LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot sudah ada formula berani apabila mengakui pemain muda sensasi, Rio Ngumoha bersedia diturunkan dalam aksi ‘hidup mati’ Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi esok.
Sebagai rekod, Ngumoha yang berusia 17 tahun terus mencuri perhatian apabila meledak gol sulung di Anfield ketika membantu Liverpool menewaskan Fulham sekali gus menguatkan desakan penyokong agar dia diturunkan dalam kesebelasan utama menentang PSG.
Menurut Slot, kesebelasan utama pada aksi bertemu PSG masih belum diputuskan, tetapi tidak menolak kemungkinan Ngumoha diturunkan untuk memberi kesukaran terhadap benteng pasukan pelawat.
“Ya, saya rasa dia sudah bersedia. Persoalannya sekarang, bolehkah dia ulang prestasi sama seperti aksi sebelum ini? Mampukah dia bermain pada tahap itu sekali lagi?
“Secara peribadi, saya turunkan dia (ketika bertemu Fulham) kerana saya melihat dia sebagai salah seorang pemain utama kami, bukan sekadar pemain muda.
“Dia ada kelebihan luar biasa, terutama dalam situasi satu lawan satu. Sesuatu yang jarang kita lihat dalam pemain moden sekarang,” katanya.
Mengulas mengenai aksi timbal balik nanti, Slot turut menekankan kepentingan sokongan penyokong di Anfield bagi membantu The Reds bangkit melakar keputusan positif.
“Kami perlukan suasana hebat daripada penyokong. Mereka boleh bantu kami capai tahap lebih tinggi berbanding apa yang kami tunjukkan sebelum ini,” katanya. – AGENSI














