PETALING JAYA – Seorang pekerja premis makanan di sebuah pasar raya di Setia Alam, Shah Alam, Selangor buntu apabila dirinya terkena pukau oleh seorang lelaki sehingga mengakibatkan kerugian dalam sekelip mata.
Menerusi satu hantaran di Threads oleh @nurul_zamri, dia mendakwa lelaki berkenaan telah melarikan telefon bimbit mangsa dan juga licik menggunakan pengecaman wajah mangsa untuk menceroboh aplikasi perbankannya.
Mangsa dikatakan telah menyimpan semua maklumat sulit termasuk kata laluan bank di dalam aplikasi nota telefon berkenaan.
“Tolong hati-hati. Adik ini kena pukau oleh seorang lelaki dan dia ambil telefon lalu buka telefon menggunakan ‘Face ID’ (pengecaman wajah).
“Lepas itu dia buka nota dekat telefon dan nota tersebut ada semua kata laluan dia,” katanya.
Hantaran tersebut telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna menasihatkan untuk lebih berhati-hati dan ada juga yang telah menceritakan pengalaman yang sama ditimpa mereka.
“Ini sebenarnya menakutkan, tolong semua hati-hati terutamanya dekat tempat awam. Jangan sewenang-wenangnya bukakan telefon dekat orang dan lebih baik jangan simpan kata laluan dalam aplikasi nota macam itu, bahaya,” kata pengguna Aemafq.
“Tahun 2024 saya kerja dekat kawasan situ juga dan kawan saya kena pukau dekat tempat yang sama, gelang emas dia yang dia pakai dah diambil. Lama juga dia nak sedar, bila dia sedar semua dah hilang dah,” kata pula pengguna ziiraaa. – KOSMO! ONLINE














