PASIR MAS – Seramai 34 pelajar dan murid sekolah yang ditahan hari ini selepas menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kesemua pelajar dan murid-murid yang berusia tujuh hingga 16 tahun itu dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
Wakil kepada salah seorang keluarga pelajar itu berkata, anak-anak yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Menurutnya, semua ibu bapa boleh membawa pulang anak masing-masing selepas menurunkan tandatangan pada borang yang diberikan oleh pihak polis.
“Setakat ini, pelajar dan murid dibebaskan secara berperingkat. Kami juga dimaklumkan bahawa anak-anak tidak perlu dibawa ke mahkamah esok,” katanya.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seramai 34 pelajar dan murid sekolah selepas dikesan menyeberangi Sungai Golok dari Thailand melalui pangkalan haram untuk pergi ke sekolah mereka.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan tujuh hingga 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6.30 pagi.
Menurutnya, siasatan mendapati, kesemua mereka termasuk 12 orang perempuan dikesan menyeberangi Sungai Golok melalui pangkalan haram di sini.
“Mereka merupakan warganegara Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand, namun bersekolah di Rantau Panjang. Justeru, pihak tertentu perlu mengambil tindakan bagi menangani isu murid atau pelajar merentas Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang.
“Tiada sebarang pengecualian termasuk pelajar sekolah dalam aspek rentas sempadan menggunakan pangkalan haram. Sesiapa sahaja akan ditahan jika didapati melalui jalan yang tidak sah,” katanya – KOSMO! ONLINE














