fbpx
Maritim Malaysia menumpaskan sindiket memindahkan minyak diesel secara haram melibatkan dua Kapal tangki di perairan Bagan Ajam, Butterworth, malam tadi.

Sindiket pindah diesel dari laut tumpas, rampasan cecah RM2.33 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia berjaya mematahkan cubaan memindahkan kira-kira 700,000 liter minyak diesel secara haram dengan nilai rampasan mencecah RM2.33 bilion apabila menahan dua kapal tangki di perairan Bagan Ajam di sini, malam tadi.

Serbuan tersebut turut menahan seramai 22 kru yang terdiri daripada rakyat Malaysia, warga Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia yang ketika itu berada di atas dua kapal berkenaan.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan yang diterima seawal pukul 10.45 pagi berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal dalam keadaan bersauh di lokasi berkenaan.

Menurutnya, susulan maklumat tersebut, satu Ops Bersepadu segera digerakkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang sebelum sebuah bot peronda Maritim Malaysia dihantar ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (ship-to-ship transfer) tanpa kebenaran.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti tersebut melibatkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran sebanyak 700,000 liter, manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM2.33 bilion dan kes tersebut antara tangkapan berprofil tinggi di perairan negara tahun ini.

“Nilai tersebut merangkumi kedua-dua kapal tangki serta muatan diesel Euro 5 yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM5.43 juta.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia. Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 ke atas setiap vesel,” ujarnya.

Katanya lagi, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kastam 1967 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo.

“Kesemua kru dan kapal yang ditahan kemudiannya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan pemantauan di perairan negara bagi membanteras aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN