SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan jemaah haji supaya mengurangkan aktiviti membeli belah dan berbelanja di Tanah Suci.
Baginda bertitah, jemaah perlu memfokuskan kepada ibadah dan bersabar dengan segala ujian serta dugaan yang akan dihadapi.
“Perkara penting Beta suka ingatkan kepada jemaah haji ialah menjaga kesihatan diri, tidak membazir, mengawal perbelanjaan dan berjimat cermat terutama dalam situasi ekonomi dunia bergolak ketika ini.
“Tumpukanlah kepada ibadah yang wajib dilakukan dan kurangkan aktiviti membeli belah dan berbelanja ketika berada di tanah suci,” titah baginda ketika menyempurnakan penutupan Kursus Perdana Haji Musim 1447 Hijrah Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Kursus anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) itu disertai lebih 8,202 bakal haji negeri ini dalam mempersiapkan diri bagi fasa akhir sebelum berangkat ke Tanah Suci bermula 18 April depan.
“Walaupun kos perbelanjaan menunaikan fardu itu terus meningkat dan kuota terhad, masih ramai umat Islam memohon untuk mengerjakan haji. Oleh demikian, beta berharap jemaah haji memanfaatkan peluang itu sebaiknya untuk mendapatkan haji mabrur,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE














