SUNGAI BULOH – Polis mengesahkan kejadian seorang wanita menceroboh sebuah rumah yang tular di media sosial semalam, dipercayai melibatkan individu yang mengalami masalah kesihatan mental.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas pengadu tampil membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang pada pukul 10.41 malam, kelmarin.
Menurutnya, kejadian tersebut mula tular menerusi satu akaun di platform Threads yang memaparkan insiden pencerobohan berkenaan.
“Hasil tindakan segera, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati wanita berkenaan gagal memberikan keterangan yang jelas dan disyaki berada dalam keadaan tidak waras.
“Suspek kemudian dirujuk ke hospital bagi mendapatkan pengesahan status kesihatan mental,” ujarnya.
Tambah beliau, ketika ini wanita terbabit masih menerima rawatan di wad psikiatri sebuah hospital di Selangor.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi menghormati keluarga suspek.
“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa memastikan kediaman dikunci dengan selamat serta membawa kunci bersama bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Menurutnya, kecuaian individu boleh mengundang risiko keselamatan yang lebih serius pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE














