PETALING JAYA – Taktik seorang lelaki menyamar sebagai pegawai audit daripada sebuah ibu pejabat (HQ) akhirnya terbongkar selepas dia dikesan mencuri telefon bimbit milik pekerja di sebuah premis makanan di sekitar Lembah Klang semalam.
Menerusi satu perkongsian rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) oleh pengguna @izzksryx, dia mendakwa bahawa lelaki tersebut sanggup berlakon menjadi wakil pengurusan untuk mencuri barangan berharga milik pekerja yang sedang bertugas.
Suspek yang menggunakan identiti ‘Adam Aqasha’ itu dikesan memasuki premis dengan penampilan kemas bagi memperdayakan mangsa sebelum bertindak untuk melarikan telefon pintar dalam beberapa kejadian berasingan.
Apa yang lebih mencurigakan, lelaki berkenaan menggunakan kad pengenalan pekerja palsu yang dibuat secara tulisan tangan pada sekeping kertas.
“Hati-hati ya dengan lelaki ini, dia berlakon jadi orang HQ semata-mata datang nak curi barang dalam kedai. Tolong jangan dekat dengan dia sebab takut dia ada guna-guna, bos saya jumpa minyak botol kecil berwarna kuning dalam kedai,” katanya.
Tambahnya, suspek dipercayai telah melakukan siri jenayah di beberapa cawangan premis bermula 4 April lalu di Kuala Lumpur sebelum beralih ke kawasan Bandar Saujana Putra pada 7 April.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa berang terhadap situasi ini yang dianggap sebagai satu tindakan yang terdesak demi mendapatkan wang dengan cara mudah.
“Zaman sekarang semua kedai ada CCTV, dia boleh selamba sahaja curi barang orang. Kad pun tulis tangan macam kerja sekolah, pelik macam mana orang boleh terpedaya,” kata pengguna Syafiqshfrdn.
“Saya rasa kalau kita sebagai pekerja nak bagi siapa-siapa masuk pun kena minta tunjuk kad dahulu untuk pastikan mereka dari syarikat yang sah,” kata pula pengguna G.william37.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu yang meragukan bagi mengelakkan situasi sama terjadi. – KOSMO! ONLINE














