KEMAMAN – Kawasan jeti lama yang pernah menjadi lokasi pendaratan kapal persiaran di Kijal di sini yang selama ini sunyi kembali meriah dengan kehadiran pemancing untuk melakukan aktiviti candat darat.
Tinjauan Kosmo! kelmarin mendapati kawasan jeti itu dikunjungi kira-kira 100 kaki pancing untuk mencandat sotong sejak seminggu lalu.
Seorang penduduk dari Kampung Meraga Beris, Mohd. Ghazali A. Rahman, 51, berkata, rata-rata pemancing mencuba nasib mencandat sotong seawal pukul 5.30 petang setiap hari.
“Sotong jarum biasanya gemar berenang di perairan berhampiran jeti pada pukul 7 hingga 8 malam. Waktu itu paling mudah untuk mendapat sotong.
“Biasanya saya berhenti sekejap untuk solat maghrib sebelum sambung semula mencandat sotong pada sebelah malam. Ada yang melakukan candat darat hingga tengah malam,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Said Nan, 66, menjadikan aktiviti candat darat tersebut bagi mengisi masa lapang bersama isterinya, Mek Kemas Mohamad, 58.
Pesara tentera itu berkata, dia dan isterinya gemar memancing dan menjadikan waktu malam untuk melakukan aktiviti tersebut.
“Niat bukan hendak tangkap sotong sangat, cuma sekadar luang masa (suami isteri). Setakat ini, paling banyak dapat tangkap lima ekor satu malam, kadang-kadang kami pulang tangan kosong,” katanya.
Mohd. Shahrunnizam Mohamad, 32, pula berkata, aktiviti mencandat darat dilihat lebih menjimatkan berbanding menyewa bot yang mencecah ribuan ringgit, namun pengunjung diminta supaya berhati-hati terutama bagi mereka yang membawa anak-anak kecil kerana jeti lama tersebut tidak berpagar. – KOSMO! ONLINE














