PETALING JAYA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang bertindak cuba membuka pintu keretanya dalam satu kejadian di kawasan tempat letak kenderaan di Titiwangsa, semalam.
Menerusi hantaran pengguna di media sosial oleh @asyikinahmad, dia mendakwa kejadian itu berlaku ketika dia baru sahaja tiba di kawasan tempat letak kenderaan pejabatnya pada waktu awal pagi yang masih gelap.
“Kalau kamu semua dalam kereta, pastikan kunci pintu itu sebab pagi ini aku ada pengalaman yang menyeramkan di mana aku sampai pejabat awal dan masih gelap lagi dekat luar.
“Bila dah sampai, aku baru nak matikan enjin, nampak seorang lelaki lalu depan kereta aku dan jenguk-jenguk kemudian berlalu pergi. Tiba-tiba aku terkejut nampak dia dah berdiri sebelah pintu kereta aku dan cuba untuk buka pintu kereta,” katanya.
Wanita tersebut bertindak pantas dengan membunyikan hon dengan kuat bagi menarik perhatian orang ramai dan menyebabkan lelaki itu terus melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Memang jantung aku laju berdegup, bila dia dah mula cuba buka pintu secara agresif, aku terus tekan hon dan dia pun lari. Aku tunggu sehingga ada orang lain lalu di kawasan tersebut sebelum berani keluar nak masuk ke pejabat,” jelasnya lagi.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berasa takut melihat rakaman video yang dikongsi oleh mangsa dan menasihatkan agar orang ramai terutamanya golongan wanita untuk lebih berhati-hati ketika memandu sendirian.
Seorang pengguna menyarankan agar pemandu sentiasa mengunci stereng di dalam kenderaan sebagai langkah berjaga-jaga jika menghadapi situasi tersebut.
“Lain kali bunyikan hon kereta untuk tujuan keselamatan diri jika diancam atau cubaan samun sehingga ada orang awam datang tolong,” kata pengguna Garlic_lemon_eyes.
“Kalau jadi lagi kamu terus pergi sahaja dari sana, seram betul muka. Nasib baik awak dah selamat,” kata pula pengguna Leadeluna_dahlia. – KOSMO! ONLINE














