LIVERPOOL – Legenda Liverpool, Steven Gerrard memberi peringatan kepada pasukan itu supaya kembali ke prestasi sebenar sekiranya mereka mahu menyelamatkan kempen hambar sepanjang saingan musim ini.
The Reds berada dalam situasi cukup genting ketika ini selepas mencatat tiga kekalahan berturut-turut, termasuk dibelasah Manchester City 4-0 dalam saingan Piala FA selain tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada aksi Liga Juara-Juara.
Gerrard yang risau dengan prestasi semasa pasukan itu berharap pemain-pemain Liverpool menunjukkan kebangkitan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Fulham di Anfield awal pagi esok.
“Antara perkara yang menjadi sebahagian daripada pemain Liverpool adalah mereka akan berdepan jadual padat. Mereka perlu bersedia sepenuhnya untuk aksi menentang Fulham kerana Anfield pasti mengharapkan sesuatu.
“Penyokong-penyokong Liverpool tidak boleh menerima situasi seperti sekarang. Jadi, pemain-pemain perlu meningkatkan tahap kecergasan dan mengalihkan fokus untuk perlawanan menentang Fulham nanti,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memuji sikap profesional ditunjukkan pemain sayap, Mohamed Salah yang langsung tidak diturunkan ketika mereka berdepan PSG pada aksi suku akhir pertama kelmarin.
“Dia patut diberikan kredit kerana masih berada di padang dan melakukan latihan biarpun perlawanan sudah tamat. Mungkin dia sudah mula memikirkan mengenai perlawanan menentang Fulham nanti,” ujar Gerrard. – AGENSI














