fbpx
Sidang media berkaitan mangsa diserang berulang kali, dilempar cat oleh sindiket along di Pejabat MHO hari ini.

‘Mereka tuntut RM103,000, ugut bakar rumah minggu depan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Gara-gara meminjam wang RM1,300 daripada pihak tidak berlesen tahun lalu, seorang wanita hidup dalam ketakutan apabila rumahnya dan ahli keluarga menjadi sasaran sindiket along.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Shamsiah, 56, berkata, segalanya bermula apabila dia terperdaya dengan iklan pelaburan sehingga terjebak dengan pinjaman along secara dalam talian berjumlah SGD400 (RM1,300) hujung tahun lalu.

“Saya sudah bayar RM50,000, namun mereka tidak puas hati dan mendakwa bayaran tidak diterima kononnya salah kod, sejak itu mereka simbah cat, bakar rumah saya.

“Sekarang mereka masih menuntut RM103,000 dan mengugut akan membakar rumah 11 ahli keluarga saya secara besar-besaran bermula pada 15 April ini,” katanya pada sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini hari ini.

Menurut Shamsiah, rumah disimbah cat pada 19 dan 27 Disember lalu, sebelum diserang sekali lagi pada 10 Januari lepas. Keadaan menjadi semakin ekstrem apabila pagar rumahnya dibakar dua hari berturut-turut pada 7 dan 8 Februari lalu.

Keadaan ini berlanjutan sehingga Mac lepas apabila rumah adik dan jirannya turut menjadi sasaran serangan api sebagai taktik tekanan bagi memaksa mangsa membuat bayaran tambahan yang tidak munasabah.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kejadian tersebut membuktikan sindiket along kini bertindak sebagai organisasi jenayah terancang yang zalim dan memanipulasi pinjaman untuk memeras ugut mangsa tanpa henti.

Katanya, tindakan sindiket mendedahkan alamat dan mengancam keselamatan 11 ahli keluarga mangsa menunjukkan mereka tidak lagi takut kepada undang-undang dan bertindak di luar batasan kemanusiaan.

MHO turut mendedahkan mangsa lain iaitu seorang bapa apabila kenderaannya dibakar gara-gara pinjaman kecil berjumlah RM150 oleh anaknya yang kini sedang terlantar lumpuh.

Oleh itu, Hishamuddin mendesak agar pihak PDRM tidak lagi menyiasat kes sebegini di bawah seksyen jenayah ringan atau komersial semata-mata kerana hukuman denda yang dikenakan sebelum ini dilihat gagal memberikan pengajaran kepada sindiket ini.

Langkah ini perlu diambil segera oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin dan mengekang sindiket haram ini daripada terus berleluasa.

“Saya mohon pihak berkuasa memandang serius isu ini dan berharap agar sama-sama kita ada niat untuk melumpuhkan sindiket along ini,” tegasnya. — KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN