SELAYANG – Seorang remaja lelaki sebuah rumah kebajikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual termasuk persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki bulan lalu.
Remaja yang berusia 17 tahun membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam prosiding secara tertutup di hadapan Majistret Mahmoodah VM Abdul Latif.
Prosiding itu dijalankan secara tertutup berikutan remaja itu merupakan pesalah bawah umur.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, remaja tersebut yang juga penghuni rumah kebajikan itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun (umur ketika kejadian).
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Selayang pada 27 Mac bulan lalu.
Bagi kesemua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen Kesemua Seksyen 14(b),15(a) ,15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Seksyen 14(b) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Bagi Seksyen 15(a) dan 15(a)(ii) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Sementara bagi Seksyen 377C memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan remaja berkenaan diikat jamin RM6,500 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 24 Jun ini bagi sebutan semula kes.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafiz Aiman Badrisham manakala remaja itu diwakili peguam Azman Abdullah.
Terdahulu suasana di kompleks mahkamah di sini, kecoh seketika apabila tertuduh ketiga bagi kes dakwaan penderaan seksual di sebuah rumah kebajikan, tiba untuk berdepan pelbagai pertuduhan.
Tertuduh yang juga seorang remaja dan tidak boleh dinamakan mengikut undang-undang, dilihat menutup kepalanya dengan tuala ketika diiring masuk ke kawasan lokap.
Seorang lelaki warga emas turut mengecam dengan berkata, ‘harapkan pagar, pagar makan padi.’
Semalam penjaga dan pengasas rumah kebajikan tersebut telah didakwa mengaku batas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal termasuk persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap beberapa kanak-kanak lelaki.
Penjaga rumah kebajikan itu Retna Velu, 25, mengaku bersalah atas 15 pertuduhan manakala pengasasnya S.Valan, 31, tidak mengaku bersalah atas empat pertuduhan kesalahan sama.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mendedahkan menjadi mangsa liwat di sebuah rumah kebajikan di Batu Caves sejak dua tahun lalu.
Mangsa merupakan antara lebih 20 kanak-kanak berusia sembilan hingga 17 tahun yang mengalami penderaan fizikal dan seksual di rumah kebajikan tersebut yang telah beroperasi selama 10 tahun itu.
Dakwanya, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh pengasas rumah tersebut yang berusia 31 tahun.
Menurut mangsa, dia diliwat sambil dirakam di tandas rumah kebajikan dengan disaksikan rakan-rakannya selain turut menerima jahitan di kawasan kemaluan disebabkan kejadian itu.
Tambah kanak-kanak tersebut, dia tidak berani untuk memaklumkan insiden itu kepada sesiapa kerana sering dipukul menggunakan batang buluh di kepala selain dilumurkan dengan cili merah di muka.
Selain kanak-kanak tersebut, seorang lagi mangsa lelaki berusia 15 tahun turut mendedahkan perkara sama apabila didera secara seksual sejak empat tahun yang lalu.
Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor (PKTTS), S Maran, yang mendedahkan kes tersebut berkata, selain pengasas, terdapat dua lagi pembantunya yang juga terlibat dengan kes amang seksual melibatkan ramai mangsa. – KOSMO! ONLINE














