SEREMBAN – Kapal Malaysia pertama membawa muatan minyak mentah sudah melepasi Selat Hormuz serta berada di perairan antarabangsa.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kapal berkenaan kini dalam perjalanan menuju ke kilang penapisan minyak di Penggerang, Johor.
“Kapal kita tak boleh lalu, semua tak boleh lalu sekarang tapi kelulusan untuk kapal (tujuh buah) kita lalu dah ada. Satu kapal telah selamat keluar daripada Selat Hormuz dan kapal tersebut sekarang dah berada di perairan antarabangsa,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Dewan Orang Ramai Rantau, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan berkata perbincangan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dibuat bagi membolehkan Malaysia mendapatkan pelepasan bagi tujuh kapal Malaysia yang terkandas di Selat Hormuz untuk meneruskan perjalanan mereka. – KOSMO! ONLINE














