PARIS – Pengendali Paris Saint-Germain, Luis Enrique memberi amaran pasukannya belum selamat meskipun berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Liverpool dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Parc des Princes itu, PSG selaku tuan rumah membawa bekalan selesa hasil jaringan Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia sebelum bertandang ke Anfield pada minggu depan.
Menurut Enrique, ujian sebenar buat pasukan adalah ketika mengharungi baki 90 minit di gelanggang keramat The Reds itu kerana apa sahaja boleh berlaku.
“Saya rasa kami akan tertekan apabila beraksi di Anfield nanti. Namun, saya anggap debaran ini perkara biasa kerana ia Anfield sangat istimewa dan kami tidak sabar untuk mengharungi perlawanan itu.
“Kami akan buat persiapan sebaik mungkin kerana mereka akan tampil dengan intensiti yang lebih tinggi,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan yang diharungi, Enrique terkejut dengan taktikal jurulatih Liverpool, Arne Slot yang menggunakan taktikal ‘parkir bas’ dengan lima pertahanan dalam kesebelasan utama.
“Saya anggap Slot jurulatih hebat. Ini kali pertama mereka gunakan sistem itu, tetapi kami sudah biasa berdepan pasukan yang mengubah taktikal untuk menentang kami,” katanya. – AGENSI














