fbpx
Lokasi kejadian seorang lelaki cedera ditembak di depan UiTM Cawangan Machang, Machang semalam. Foto IHSAN PEMBACA

Lelaki miliki 9 rekod jenayah cuba bunuh polis cedera ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Tindakan seorang lelaki menyerang anggota polis dengan cara melibas parang membawa padah apabila dia cedera ditembak dalam kejadian di hadapan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang di sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejadian pada pukul 11.17 malam itu berlaku ketika sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang melakukan rondaan cegah jenayah.

Katanya, ketika melakukan pemeriksaan ke atas dua lelaki yang mencurigakan, seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang sebelum melibas ke arah pasukan keselamatan.
“Anggota polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri dan mengelakkan kecederaan serius.

“Kedua-dua suspek melarikan diri sebelum seorang daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan dalam operasi di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, suspek yang ditahan mengalami kecederaan di paha dan dilaporkan stabil di hospital. Anggota polis yang terlibat insiden tersebut pula tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki sembilan rekod termasuk ugutan jenayah, menghalang tugas penjawat awam, keganasan rumah tangga, menerima harta curi, mendatangkan kecederaan, pencerobohan jenayah dan dadah.

“Kesemua rekod itu menunjukkan suspek mempunyai latar belakang jenayah yang serius dan berulang,” ujarnya.

Lelaki itu direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN