LONDON – Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton memberi bayangan Ferrari kini mempunyai ‘masterplan’ tersendiri untuk menyaingi dominasi Mercedes dalam musim Formula Satu (F1) 2026.
Pasukan Silver Arrows itu tampil dominan awal musim apabila gandingan George Russell dan Kimi Antonelli silih berganti meraih kemenangan dalam tiga perlumbaan awal, sekali gus mengungguli carta pemandu serta kategori pengeluar.
Bagaimanapun, Hamilton yang berhijrah ke Ferrari pada 2025 bersemangat untuk mencabar bekas pasukannya itu selepas bekerjasama rapat dengan jurutera Ferrari termasuk berkongsi maklumat teknikal bagi merapatkan jurang prestasi.
“Komunikasi sangat baik. Kami sentiasa berbincang, menganalisis setiap perkara termasuk kekuatan jentera Mercedes. Semua orang bekerja keras untuk cari setiap kelebihan walaupun hanya beberapa milisaat,” katanya.
Hamilton turut mendedahkan setiap sektor di jabatan pembangunan jentera Ferrari kini bergerak secara agresif bagi memastikan peningkatan berterusan sepanjang musim.
“Semestinya saya teruja untuk beberapa bulan akan datang, lebih-lebih lagi semua pihak memainkan peranan penting untuk memastikan Ferrari di hadapan,” ujarnya.
Selepas melalui tempoh sukar hampir 1,000 hari tanpa kemenangan bersama Mercedes sebelum ini, Hamilton akhirnya kembali menaiki podium di tempat ketiga bersama Ferrari pada Grand Prix China musim ini.
Jika momentum itu berterusan, Ferrari dilihat berpotensi menjadi pencabar utama Mercedes dalam perebutan kejuaraan musim ini. – AGENSI














