ALOR GAJAH – Seorang pegawai kanan tentera berpangkat mejar didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah menumbuk kepala guru wanita pada Oktober tahun lalu.
Majistret Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Rajakogillan, 35, yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa berusia 44 tahun dengan cara menumbuk belakang kepalanya sebanyak tiga kali di tempat letak kereta Taman Terendak Heights, Masjid Tanah di sini pada pukul 7.30 malam, 5 Oktober 2025.
Difahamkan, kejadian berpunca akibat konflik hubungan peribadi antara tertuduh dan mangsa yang merupakan ibu tunggal dua anak.
Insiden berlaku ketika mereka bertemu di dalam kereta untuk membincangkan hala tuju hubungan selepas mangsa mengetahui tertuduh mempunyai hubungan dengan wanita lain.
Namun berlaku pertengkaran sebelum tertuduh didakwa menumbuk belakang kepala mangsa yang merupakan guru sebuah sekolah menengah di Alor Gajah sebanyak tiga kali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman setimpal.
Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Goh Jee Chee merayu hukuman ringan kerana ia merupakan kesalahan pertama selain tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Hujahnya, tindakan anak guamnya itu adalah untuk mempertahankan diri dan mangsa bukan kekasihnya, malah tertuduh juga baru berkahwin dan membawa isterinya bersama pada prosiding tersebut.
Selepas mendengar hujan kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau empat bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE














