PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan aktivis mencetuskan provokasi ketika ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki melampaui batas kebebasan bersuara.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, berkata dalam sebuah negara yang menjunjung prinsip demokrasi, kebebasan bersuara sememangnya perlu dihormati, namun ia tidak boleh disalah guna sehingga mencetuskan provokasi atau mengganggu ketenteraman awam.
“Tindakan mengangkat plakad dan mencetuskan gangguan ketika program rasmi bukanlah satu bentuk advokasi matang, sebaliknya mencerminkan kegagalan memahami batas antara kebebasan dan tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Malaysia sebagai negara berperlembagaan menyediakan pelbagai saluran sah untuk menyuarakan pandangan termasuk melalui laporan rasmi, forum terbuka serta proses undang-undang.
Katanya, MCW berpandangan tindakan pihak berkuasa menahan serta mereman individu terlibat adalah selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada, khususnya berkaitan kesalahan mengganggu penjawat awam dan ketenteraman awam.
Semalam, Kosmo! melaporkan suasana tenang pada Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bertukar kecoh apabila sekumpulan individu melakukan protes secara tiba-tiba.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, dua lelaki dilihat mengangkat kertas mahjong yang tertera tulisan ‘Tangkap Azam Baki’ dan ‘Azam Baki Simbol Reformati’ ketika ucaptama sedang berlangsung. – KOSMO! ONLINE














