HULU SELANGOR – Seorang pelatih Perodua, Muhammad Ikmal Sagir maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dalam kemalangan di susur masuk Tol Sungai Buaya arah selatan, 30 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.55 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 7.40 pagi melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 23 tahun dalam perjalanan dari rumah menuju ke tempat kerja di Kepong.
“Setibanya di selekoh susur masuk Tol Sungai Buaya, motosikal ditunggang mangsa disyaki hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa tercampak ke tengah jalan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Insp. Khairul Salleh Abdull Rahman di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, ahli keluarga mangsa turut memohon bantuan saksi atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














