KUALA LUMPUR – Didakwa menutup wajah bekas isteri Bella Astillah pada beberapa foto keluarga, penyanyi Aliff Aziz memilih untuk tidak mencampuri urusan hiasan dalaman kediaman ibu bapanya.
Aliff, 35, bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan isu tersebut selain mempertahankan ibunya,Siti Hafiza Basharahil dengan menyatakan bahawa visual tersebut muncul tanpa disengajakan ketika sedang merakam ulasan beberapa kuih raya.
“Sekali lagi, ini adalah perkara yang saya rasa tak sesuai untuk dikongsi. Itu adalah rumah mak ayah saya, terpulanglah kepada mereka apa hiasan yang mereka nak letak dalam rumah.
“Umi (ibu) saya bukan sengaja, masa itu tengah buat reviu makan dan mungkin ramai orang yang ada masa untuk ‘freeze frame’ dan sebagainya.
“Saya tak boleh komen banyak fasal dalam rumah mak ayah saya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis rumah terbuka iQIYI Raya di Andaman Grand Ballroom, semalam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Kalau Cinta itu menegaskan enggan membiarkan komen negatif mengganggu fokus utamanya ketika ini.
“Setiap orang ada persepsi masing-masing. Kalau saya nak buat sesuatu dalam hidup mengikut kata orang, maka saya akan berada di tahap itu sahaja.
“Saya sudah melakukan banyak perkara bodoh dalam hidup saya. Jadi sekarang ini saya perlu fokus untuk perbaiki diri,” ujarnya.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan beberapa keping foto keluarga di kediaman ibu bapa Aliff di Singapura yang didakwa menutup bahagian wajah Bella.
Perkara tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati dan berang dalam kalangan peminat Bella yang menyifatkan tindakan Hafizah sebagai keterlaluan.
Sebelum ini, Aliff mendirikan rumah tangga dengan pemilik nama lengkap Dayang Nabellah Awang Astillah pada 9 September 2016 namun bercerai pada 13 Jun 2024 selepas mendakwa bekas suaminya itu curang sebanyak 11 kali.
Bella pada Ogos 2024 mendedahkan keluarga bekas suaminya itu juga tidak pernah memohon maaf, sebaliknya menyokong wanita yang memusnahkan rumah tangganya dengan Aliff.
Sebelum itu, Bella dan Aliff juga pernah bercerai dalam rujuk dalam tempoh idah pada 2019.- KOSMO! ONLINE














