PETALING JAYA – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah perumpamaan tepat bagi menggambarkan pengorbanan kental seorang ibu muda apabila terpaksa berjauhan dengan anak yang baru berusia empat bulan demi mengejar segulung ijazah.
Menerusi hantaran di Threads oleh Ezryatulnsa, baru-baru ini mencuri perhatian orang ramai hingga mendapat sokongan luar biasa dalam kalangan wanita, khususnya golongan ibu bergelar mahasiswa.
Menerusi foto yang dikongsikan, kelihatan seorang bayi berusia empat bulan berada di atas katil asrama, dipercayai ketika sesi pendaftaran atau kepulangan ibunya ke kolej kediaman di sebuah universiti awam.
Rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum dan bangga terhadap kecekalan wanita tersebut kerana sanggup berjauhan dengan anak yang masih kecil demi menuntut ilmu.
“Bangganya saya tengok perempuan yang ada kesungguhan sambung belajar walaupun dah ada suami dan anak,” kata Miqaaaaaaa___.
“Tolong abaikan apa orang cakap. Saya tahu awak pun berat hati nak tinggalkan anak tapi awak pilih untuk tidak tinggalkan impian awak,” ujar Zahraaster_ pula.
Ada juga yang turut berkongsi pengalaman menjadi seorang ibu semasa melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.
Menurut Safurarambli, kehadiran anak di majlis konvokesyen merupakan satu momen yang jarang berlaku tetapi amat bermakna baginya.
“Saya sarat mengandungkan anak kedua ketika mengikuti pengajian Diploma Profesional. Selepas tamat latihan industri dan mengharungi fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya akhirnya berjaya menghadiri majlis konvokesyen pada tahun 2023,” katanya.
“Syabas dan tahniah kepada semua ibu yang gigih menyambung pengajian demi masa depan. Teruskan perjuangan anda,” tambahnya lagi. – KOSMO! ONLINE














