MELAKA – Seorang warga emas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk dan menampar adik iparnya di sebuah restoran pada Disember tahun lalu.
Majistret Uthman Abd. Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Razaly Ramly, 69, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 41 tahun di Restoran Maulana Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 1 pagi, 15 Disember lalu.
Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu berada di kawasan parkir motosikal restoran, dia didatangi tertuduh sebelum warga emas itu tiba-tiba mencekak leher bajunya.
Tertuduh menuduh pengadu bersikap kurang ajar sehingga mencetuskan pertengkaran mulut, dipercayai membabitkan rasa tidak puas hati mangsa terhadap tindakan tertuduh yang berkahwin secara rahsia dengan kakaknya di Thailand.
Pengadu turut memarahi tertuduh mendakwa lelaki itu menjadi punca perceraian kakaknya dalam perkahwinan terdahulu.
Tertuduh yang berang kemudian menumbuk serta menampar pipi kiri pengadu sehingga mangsa disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada pipi kiri dan kesan calar pada leher oleh pegawai perubatan Hospital Melaka.
Tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Amritpal Singh, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 atau empat bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda tersebut. – KOSMO! ONLINE














