WASHINGTON – Presiden Donald Trump menyiarkan sumpah seranah di media sosial dengan mengancam untuk memusnahkan loji kuasa dan jambatan Iran jika Tehran gagal memenuhi tarikh akhir esok untuk membuka semula semula Selat Hormuz kepada semua kapal, lapor badan penyiaran Britain semalam.
Iran sebaliknya mengejek kata dua tersebut sebagai: “tidak berdaya, gementar dan bodoh’.
“Hari Selasa (esok) akan menjadi Hari Loji Kuasa, dan Hari Jambatan, semuanya digabungkan menjadi satu di Iran. Tiada yang akan menyerupainya!!! Buka Selat Hormuz ‘sialan’. Kamu bajingan gila, atau kamu akan hidup dalam Neraka – LIHAT SAHAJA! Presiden DONALD J. TRUMP”.
Selepas itu, Trump memberitahu saluran berita Fox News bahawa terdapat ‘peluang baik’ perjanjian akan dicapai hari ini, tetapi beliau mempertimbangkan untuk ‘meletupkan segala-galanya dan mengambil alih minyak Iran’ jika perjanjian untuk menamatkan perang tidak dicapai segera.
Kemudian, Presiden Amerika Syarikat itu mengeluarkan satu lagi kenyataan di laman sosial rasminya, Truth Social.
‘Selasa, 8 malam. Waktu Timur!’, iaitu lanjutan tarikh akhir yang pada asalnya ditetapkan untuk luput hari ini.
Trump telah menangguhkan tarikh akhir untuk pembukaan semula Selat Hormuz selama beberapa kali.
Pada 21 Mac lalu, Trump mengancam untuk ‘melenyapkan’ loji kuasa Iran jika Selat Hormuz tidak ‘DIBUKA SEPENUHNYA’ dalam masa 48 jam. – AGENSI














