PENONOME, PANAMA – Serangan kawanan lebah ketika sambutan Hari Easter oleh penganut Kristian menyebabkan 150 orang cedera, dengan 50 terpaksa dirawat di hospital, lapor akhbar Metro UK semalam.
Penduduk di bandar Penonome, tengah Panama terkejut selepas kawanan lebah Afrika atau lebih dikenali sebagai ‘lebah pembunuh’ menyerbu kejiranan mereka.
Serangan berlaku semasa penduduk sedang berarak pada Jumaat lepas.
Kira-kira 150 orang cedera dalam serangan itu, manakala 50 mangsa dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan.
Menurut saluran televisyen Destino Panama, antara yang cedera ialah paderi yang mengetuai acara keagamaan.
Jabatan bomba berkongsi rakaman video di media sosial, menunjukkan jalan-jalan di lokasi kejadian dipenuhi kenderaan perkhidmatan kecemasan.
Tidak diketahui apa yang menyebabkan kawanan lebah itu menyerang orang ramai, tetapi serangan cenderung berlaku antara Januari hingga April apabila makanan semakin berkurangan, manakala cuaca panas dan kering menjadikan serangga itu lebih agresif. – AGENSI














