fbpx
Roslan Shah yang masih bujang pada usia 56 tahun enggan terlalu ambil pusing dengan persepsi masyarakat asalkan sendiri tahu tujuan hidup sebagai seorang manusia.

‘Mungkin rezeki kahwin umur 80 tahun, itu kerja Tuhan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HIDUP sebagai lelaki atau wanita bujang bukan bermakna tidak mempunyai komitmen dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Statistik mendedahkan hampir separuh rakyat Malaysia masih bujang. Dengan kadar 44.68 peratus — Malaysia tersenarai antara negara dengan peratusan individu single tertinggi di Asia Tenggara.

Bukan menjadi satu jenayah untuk memilih tidak berkahwin pada usia yang semakin ‘tenat’ dan bukan juga satu kemestian sesebuah perhubungan dinamakan perkahwinan dijadikan penanda aras kebahagiaan seseorang.

Ada yang masih single pada usia 40 tahun misalnya kerana menjadi satu-satunya harapan keluarga menjaga ibu uzur, ada juga yang belum direzekikan berkahwin atas alasan mudah, jodoh masih belum sampai waima sudah banyak kali mencuba.

Ada yang berkahwin berkali-kali, namun rasa bahagia masih belum menjelma. Ada yang sudah berkahwin tetapi sering mengeluh diajukan soalan berjuta-berjuta kalinya menjelang lebaran, ‘bila nak dapat anak?’ dan sebagainya.

Buat pengacara, penyanyi dan pelawak, Roslan Shah yang masih bujang pada usia 56 tahun, dia enggan terlalu ambil pusing dengan persepsi masyarakat asalkan sendiri tahu tujuan hidup sebagai seorang manusia.

Mesra disapa Cik Lan, dia kini setia menjaga bapa tirinya yang uzur, Muhammad Norani Muhammad Esa, 72.

“Bercakap tentang jodoh, saya percaya benda itu akan datang kalau diizinkan Tuhan tanpa mengira masa. Kalau Tuhan tentukan saya kahwin usia 80 tahun, itu kerja Dia.

“Sebab saya jaga bapa tiri kerana amanah arwah mak. Sejujurnya, saya tak sempat jaga bapa kandung saya kerana fasal arwah meninggal (dunia) dalam tidur,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ditanya tentang kehidupannya sebagai lelaki bujang pada usia emas, Cik Lan berkata, tiada apa yang hendak dimalukan kerana semua yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.

Ujarnya, selagi dia menjalani kehidupan dengan penuh positif dan menghargai orang sekeliling, itu adalah lebih daripada mencukupi.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi & Sosiologi Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Haslina Muhamad tidak menolak anxiety atau kemurungan punca lelaki atau wanita masih membujang.

“Biasa kita dengar takut komitmen dan sebagainya. Tapi dari sudut psikologi ada perkataan kembimbangan awal atau anticipatory anxiety.

“Bermaksud lelaki takut melangkah lebih jauh dari segi perhubungan kerana takutkan komitmen. Itu dalam istilah psikologi,” katanya.

Bukan sewenang-wenangnya menjadi ‘enabler’ kepada kenyataan santai daripada Cik Lan, namun sejujurnya kehidupan ini bukan tentang bahagia perkahwinan semata-mata. Ada yang bahagia mengejar kemanisan ilmu sama ada berperihal dunia dan akhirat. Ada juga yang mengecap bahagia atas berkat menjadi anak tunggal menjaga orang tua di kampung.

Ada yang bahagia membina keluarga sakinah, namun ada juga yang masih buntu meski berkali-kali meletakkan usaha tetapi akhirnya tetap diperkenankan rasa bahagia daripada Ilahi.

Biar kedengaran klise, namun itulah kehidupan yang mana manusia tidak perlu berasa tertekan untuk memuaskan hati orang sekeliling kerana yang utama adalah apa tersembunyi di luas langit saat mendongak kepala ke atas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN