WASHINGTON – Ratusan pakar undang-undang antarabangsa Amerika Syarikat (AS) menandatangani sepucuk surat terbuka yang mengatakan bahawa serangan negara itu ke atas Iran mungkin dianggap sebagai jenayah perang, selepas Presiden Donald Trump mengulangi ancamannya minggu ini untuk menyerang loji kuasa dan penyahgaraman Iran, lapor laman berita TRT World.
Lebih 100 pakar undang-undang antarabangsa termasuk dari institusi berprestij seperti Harvard, Yale, Stanford dan Universiti California menulis dalam surat tersebut.
Mereka berkata, tindakan tentera AS dan kenyataan oleh pegawai kanan AS menimbulkan kebimbangan serius tentang pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk potensi jenayah perang.
Surat itu menyatakan komen pertengahan Mac lalu daripada Trump di mana beliau berkata, AS mungkin melakukan serangan ke atas Iran ‘hanya sekadar suka-suka’.
Ia juga memetik komen daripada ketua Pentagon, Pete Hegseth dari awal Mac lalu di mana beliau berkata, AS tidak berperang dengan ‘peraturan penglibatan yang bodoh’.
“Perang itu, yang menyebabkan pembayar cukai AS kerugian antara AS$1 bilion (RM4 bilion) hingga AS$2 bilion (RM8 bilion) setiap hari, menyebabkan kemudaratan yang ketara kepada orang awam di rantau tersebut, kehilangan ratusan nyawa awam di seluruh Asia Barat serta kemudaratan alam sekitar dan ekonomi yang serius,” kata pakar-pakar dalam surat itu.
“Kami menggesa pegawai kerajaan AS untuk menegakkan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia pada setiap masa.
“Mereka juga perlu menyatakan komitmen AS yang jelas serta menghormati norma undang-undang antarabangsa,” tambah surat tersebut.
Pakar-pakar itu menambah, mereka sangat bimbang tentang serangan yang telah melanda sekolah, kemudahan kesihatan dan rumah, sambil menekankan mengenai serangan ke atas sebuah sekolah perempuan di Iran pada hari pertama perang. – AGENSI














