MUAR – Nafas masih berhembus, jasad masih bernyawa, namun pada rekod rasmi negara, nama sudah dipadam selepas diisytiharkan telah meninggal dunia.
Itu realiti pahit yang dialami seorang lelaki, Mohd. Rosli Idris, 54, yang terperangkap dalam kesilapan sistem selama hampir dua dekad.
Sejak 17 tahun lalu, Rosli hidup tanpa dokumen pengenalan diri sebenar, sekali gus menafikan hak-haknya untuk bekerja, mendapatkan bantuan dan menjalani kehidupan normal seperti rakyat lain.
Menurut lelaki berasal dari Perak itu, kehidupannya berubah sekelip mata apabila identitinya ‘terpadam’ daripada sistem selepas satu kejadian yang berlaku pada tahun 2008.
Sekitar tahun 2008 ketika dia bekerja menjual pakaian terpakai di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. Ketika itu, Rosli mengakui hubungan dengan keluarga agak renggang dan mereka tidak berhubung untuk satu tempoh yang lama.
Tanpa disedari, satu insiden telah mengubah jalan hidupnya selama-lamanya. Bekas majikannya dilaporkan terserempak dengan seorang lelaki yang mempunyai wajah hampir seiras dengannya dalam keadaan uzur di tepi jalan sebelum individu itu dihantar ke hospital.
Kemuncaknya apabila lelaki tersebut meninggal dunia kira-kira seminggu kemudian.
“Disebabkan tiada kad pengenalan, majikan saya menghubungi sepupu dan memaklumkan yang saya sudah meninggal dunia,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Mohd. Rosli berkata, lebih memilukan apabila ibu bapanya dari Kuala Kurau datang ke hospital untuk membuat pengecaman mayat dan percaya individu tersebut adalah anak mereka.
Katanya, dalam keadaan beremosi dan mungkin terkesan dengan wajah yang mirip, keluarganya mengesahkan bahawa jasad tersebut adalah anak mereka sebelum proses pengebumian dilakukan.
“Sejak dari detik itu, ‘kematian rasmi’ telah direkodkan, sekali gus memadamkan kewujudan identiti saya daripada sistem negara. Sedangkan pada ketika itu, saya masih hidup dan meneruskan aktiviti harian tanpa mengetahui tragedi yang sedang berlaku,” katanya.
Bagaimanapun, kisah kematian itu terbongkar hanya enam tahun kemudian iaitu ketika Rosli pulang ke kampungnya pada tahun 2014.
“Saya balik malam dan penduduk kampung jadi kecoh. Ada orang lari bila nampak saya. Bila saya sampai rumah, ibu dan ayah terdiam selepas itu ayah peluk saya sambil menangis sampai terduduk,” ceritanya.
Tambah Rosli, ibunya pula terkedu dan tidak mampu berkata-kata selepas mengetahui ‘anak yang dikebumikan’ pada tahun 2008 sebenarnya masih hidup.
Sejak itu, Rosli cuba membetulkan status dirinya dengan pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat kad pengenalan baharu.
“Pegawai kata tidak boleh sebab dalam rekod saya sudah ‘mati’,” dakwanya.
Ekoran kesilapan itu, urusan harian Rosli menjadi sukar terutama untuk mendapatkan pekerjaan kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
Kini, Rosli menyara hidup dengan mengutip paku dan skru lama sebelum menjualnya di premis barangan lusuh.
“Dulu saya tidak kisah tiada kad pengenalan, tapi lama-kelamaan hidup makin susah. Nak cari kerja pun susah,” katanya.
Tidak berputus asa, dia membuat laporan polis pada 2023 selepas dinasihati seorang rakan, sebelum sekali lagi membuat laporan tahun ini bagi membuktikan dirinya masih hidup.
“Setakat ini, hanya laporan polis yang jadi ‘pengenalan diri’ saya. Sekiranya terdapat pemeriksaan, saya menunjukkan laporan itu dan bersyukur kerana tidak pernah ditahan pihak berkuasa setakat ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE














