PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan kebanyakan negeri di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak petang ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia, amaran tersebut dijangka berlarutan hingga pukul 6 petang hari ini.
“Antara negeri yang terlibat ialah Perak, Kelantan dan Pahang termasuk kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, Lipis, Raub dan Bentong.
“Selain itu, Selangor melibatkan beberapa daerah seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat turut berada dalam kawasan amaran,” katanya.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan khususnya Jelebu serta Melaka juga tidak terkecuali daripada amaran cuaca buruk tersebut.
“Di selatan, Johor melibatkan daerah Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru turut diramal mengalami keadaan cuaca sama,” katanya.
Bagi Sarawak pula, kawasan seperti Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu hingga ke Kapit dan Bintulu dijangka dilanda hujan lebat berserta ribut petir.
Di Sabah, amaran melibatkan kawasan pedalaman seperti Sipitang, Tenom dan Keningau selain Pantai Barat termasuk Kota Kinabalu serta Tawau dan Sandakan. – KOSMO! ONLINE














