TAIPING – Dana yang diperlukan bagi menampung kos pembedahan Muhammad Azmin Ahmad Fauzi, 22, yang sebelum ini cedera parah akibat dihempap pokok tumbang, berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai.
Bapanya, Ahmad Fauzi Sa’rani berkata, dia sekeluarga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada semua penyumbang yang membantu kami. Sumbangan yang diterima kini telah mencukupi untuk menampung kos pembedahan anak saya,” katanya ketika menghubungi pemberita hari ini.
Sehubungan itu, dia memohon agar orang ramai menghentikan penyebaran maklumat berkaitan kutipan dana termasuk nombor akaun dan kod imbas (QR) bank milik anaknya di semua platform termasuk media sosial.
“Apa yang saya cari untuk pembedahan anak saya telah melebihi daripada yang sepatutnya. Saya tidak mahu timbul sebarang salah faham atau dituduh mengutip dana secara berlebihan. Dia turut berharap orang ramai terus mendoakan agar urusan pembedahan anaknya dipermudahkan dan diberikan kesembuhan,” katanya.
Terdahulu, kisah keluarga itu mendapat perhatian ramai selepas dia merayu bantuan orang awam bagi membiayai kos pembedahan segera anaknya yang berdepan risiko lumpuh kekal akibat kecederaan saraf tunjang. – KOSMO! ONLINE














