PETALING JAYA – Didakwa bersikap dingin, pemain gitar Rody mempunyai alasan tersendiri tidak menyahut pelawaan penyanyi, Lan Solo untuk menjayakan Konsert Kristal OG yang dijadualkan pada 1 Mei ini.
Rody atau nama sebenarnya, Muhamad Rodi Baharuddin, 40, berkata dia tidak bersetuju dengan penganjuran konsert berkonsepkan ‘original’ memandangkan barisan yang terlibat bukan ahli asal kumpulan itu.
“Sejujurnya saya tidak faham kenapa perlu ada Konsert Kristal OG atau Kristal Original ini. Apa sebenarnya tujuan konsert tersebut, sedangkan barisan yang ada hanyalah seorang sahaja?
“Di mana Izal dan Ainol? Mereka juga tidak bersama. Jadi, apa yang hendak dikatakan sebagai ‘original’ dalam konteks ini?” katanya dalam satu hantaran video.
Rody menegaskan, kumpulan Kristal yang wujud hari ini masih membawa kesinambungan identiti asal biarpun melalui evolusi perubahan anggota termasuk vokalis.
“Kristal sekarang masih sama seperti dahulu cuma penyanyi kini ialah Ewal. Saya sendiri masih membawa nama Kristal ini sejak dari awal, bermula seorang diri, kemudian berkembang dengan kehadiran ahli lain, bertukar-tukar anggota sehingga ke hari ini.
“Untuk pengetahuan semua, Kristal diasaskan arwah bapa saudara saya, Pak Din. Jadi bagi saya, Kristal itu adalah saya dan saya adalah Kristal. Dia bukan sekadar nama yang boleh diletakkan sewenang-wenangnya,” ujarnya.
Katanya lagi, penganjuran persembahan mega masih belum sesuai buat masa ini kerana band itu masih dalam proses memperkukuhkan legasi muzik mereka.
“Bagi saya, Kristal belum sampai tahap mengadakan konsert besar. Jika dilihat, jumlah album dan lagu sendiri kami masih terhad dan kebanyakan masa kami banyak buat persembahan.
“Sasaran saya adalah menjadikan Kristal sebagai sebuah legasi besar seperti Wings atau Search, yang mampu berdiri atas nama sendiri dengan karya sendiri.
“Itulah matlamat sebenar saya, bukan sekadar mengadakan konsert untuk menyatukan anggota lama semata-mata,” katanya.
Dalam masa sama, dia mengakui tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk Lan untuk meneruskan perjalanan dalam industri muzik, termasuk penggunaan nama berkaitan Kristal.
“Saya tidak pernah bising atau menghalang sesiapa, termasuk penggunaan nama seperti Kristal X atau menyanyikan lagu-lagu Kristal. Masing-masing ada haluan sendiri. Kalau mahu buat persembahan, silakan. Periuk masing-masing, masing-masing jaga.
“Tetapi apabila cuba disatukan semula dalam konsert, seolah-olah menafikan usaha saya membina semula Kristal dari bawah. Saya bermula semula selepas melalui pelbagai kecaman dan kini menyiapkan lagu baharu serta merancang hala tuju kumpulan ini,” katanya.
Menurut Rody, fokusnya adalah memulihkan jenama Kristal dengan menarik sokongan peminat baharu, sekali gus memastikan band terbabit kekal relevan.
“Saya menghormati rakan-rakan lama, tiada masalah untuk berkawan, tetapi untuk bekerjasama semula, rasanya sudah tidak sesuai,” katanya.
Rody juga berharap semua pihak dapat menghormati pendiriannya serta usaha yang sedang dilakukan demi kelangsungan kumpulan tersebut.
“Saya harap semua pihak dapat menghormati saya, Kristal dan rakan-rakan yang ada sekarang. Kristal merupakan antara kumpulan rock yang masih bertahan di Malaysia dan saya
ingin teruskan legasi ini,” jelasnya.
Terdahulu, pada sidang media pengumuman konsert Kristal OG, Lan Solo mengakui terkilan apabila usahanya menjernihkan hubungan dengan Rody bagi menjayakan konsert terbabit dipandang sepi.
Menurut Lan, Rody merupakan individu pertama yang dihubunginya sebaik sahaja menerima tawaran projek berkenaan daripada penganjur, Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama penganjur acara Blavia dan Andromeda Event. – KOSMO! ONLINE














