SHAH ALAM – Koloni pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tersorok di kawasan bukit kebun kelapa sawit di Setia Alam akhirnya terbongkar selepas pasukan penguat kuasa terpaksa mendaki hampir 400 meter untuk menjejak penempatan haram itu.
Lebih mengejutkan, penempatan tersebut juga lengkap dengan surau, kedai runcit yang mempunyai tong gas subsidi bekalan air dan generator sendiri sehingga menyerupai perkampungan kecil yang stabil.
Operasi Bersepadu selama dua jam bermula pukul 12 tengah malam turut menyerbu rumah kongsi di kaki bukit itu, selain perkampungan PATI yang pernah diserbu dua tahun lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, risikan pihaknya mendapati ketiga-tiga kawasan tersebut telah wujud antara lima hingga sembilan tahun yang lalu.
Katanya, kebanyakan PATI yang menghuni kawasan itu bekerja sebagai buruh dan pekerja pembersihan di sekitar Setia Alam secara haram.
“Ketiga-tiga lokasi itu melibatkan kawasan kebun kelapa sawit serta rumah kongsi dengan keluasan dianggarkan kira-kira 0.8 hektar.
“Ekosistem kehidupan mereka mempunyai bekalan air dan elektrik selain menggunakan generator. Kita percaya terdapat individu yang bertindak sebagai ketua dan mengutip bayaran sewaan rumah daripada penghuni setiap bulan,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan, di sini.
Menurut beliau, salah satu lokasi penempatan tersebut pernah diserbu dua tahun lalu, namun dipercayai kembali dihuni sehingga menimbulkan syak wujud unsur persengkokolan pemilik tanah.
“Justeru, kita akan meminta supaya perobohan dibuat bagi memutuskan rantaian tempat tinggal mereka agar lokasi itu tidak terus dihuni warga asing yang lain.
“Meskipun ada Program Represtasi Migran sehingga akhir bulan ini namun mereka tidak merebut peluang itu. Seolah-olah mereka tidak fikir balik negara asal sebalik mahu terus tinggal secara haram,” katanya.
Operasi melibatkan 303 anggota dan pegawai termasuk Jabatan Imigresen, Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memeriksa 356 individu kesemuanya.
Hasilnya, menahan 214 PATI terdiri warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka dengan kesalahan dikesan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang kad tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan.
“Mereka dihantar ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut,” jelasnya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penguatkuasaan MBSA, Zakaria Mat Piah berkata, semakan pihaknya sebelum ini mendapati pemilik tanah di salah sebuah lokasi diserbu telah membenarkan penempatan itu.
Malah katanya, melihat kepada keadaan termasuk rumah kongsi itu didapati tidak mengikut spesifikasi ditetapkan pihaknya.
“Kita akan menyemak status pemilikan tanah dan kelulusan sebarang pembinaan di kawasan terlibat.
“Sekiranya juga tiada kelulusan (sebarang pembinaan), memang boleh diambil tindakan di bawah peraturan-peraturan MBSA termasuk perobohan binaan dan pemilik tanah boleh dikenakan kompaun,” katanya. – KOSMO! ONLINE














