fbpx
AMEER ALI mengingatkan agar persatuan-persatuan di negara ini mengeluarkan kenyataan secara leboh bertanggungjawab berhubung kos operasi yang dikaitkan dengan konflik di Asia Barat.

Harga makanan naik 50 peratus? – ‘Jangan guna alasan Asia Barat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengerusi Bersama Pasukan Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), Datuk Ameer Ali Mydin mengingatkan persatuan-persatuan peniaga atau penjaja di negara ini agar tidak menggunakan konflik Asia Barat sebagai alasan berkemungkinan berlaku kenaikan harga makanan sehingga 50 peratus.

Ameer Ali yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) berkata, beliau membaca kenyataan yang dikeluarkan beberapa persatuan pengusaha restoran dan persatuan penjaja terkesan susulan tekanan ekonomi global akibat kenaikan kos minyak dan operasi.

“Saya nak tanya soalan. Mereka kata sebab kos operasi naik. Kos operasi apa yang naik? Sebab orang kata konflik Asia Barat yang kita hadapi sekarang. Yang saya tahu, beras di Mydin tak naik harga. Gula harga sama, telur harga sama. Harga ayam turun.

“Sepatutnya restoran yang beli ayam ini, beli ayam di Mydinlah. Patutnya harga ayam turun. Jadi harga yang dia jual sepatutnya kena turun, bukan naik. Kos apa yang naik? Gaji sama. Gaji bukan sekarang naik,” soal beliau.

Jelas beliau, kenyataan-kenyataan berkenaan tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat sebaliknya hanya menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.

“Yang saya tahu naik diesel dan tarif elektrik. Namun, bagi tarif (elektrik) kenaikan orang kata the whole cost (kos keseluruhan tidak silap saya, tak sampai 1 atau 2 peratus. Jadi janganlah kita menggunakan, sebetulnya satu alasan bahawa pasal konflik geopolitik kita akan naikkan harga.

“Untuk saya, kita yang membekal banyak barang kepada ramai rakyat Malaysia, kalau terpaksa, kita pun akan naikkan harga kalau ada betul-betul kenaikan daripada pembekal-pembekal kita.

“Bila restoran Muslim beli dengan Mydin ke beli dengan pembekal, kalau naikkan harga, naikkanlah harga pada masa itu. Tetapi untuk membuat kenyataan yang menakutkan, saya rasa ini orang kata kenyataan panik, kenyataan tidak sepatutnya. Kita sebagai satu persatuan, jangan buat. Kamu membuatkan rakyat panik, kalau sebetulnya naik kita cakap naik,” katanya.

Beliau turut memahami nasib penjaja yang ketika ini banyak tekanan daripada tenaga kerja yang tidak cukup serta kenaikan diesel.

“Sebagai contoh petani di Cameron Highlands mereka punya kos operasi akan naik tetapi setakat ini sayur di Mydin tidak naik harga lagi. Jadi awak tak boleh naikkan harga lagi. Jadi ini saranan saya kepada semua persatuan agar membuat kenyataan yang bertanggungjawab. Kalau naik harga, beritahu kalau naik berapa peratus dan kenapa.

“Pasal harga diesel naik daripada lebih RM3 sehingga lebih RM6, makna harga barang saya akan naik 2 sen atau 3 sen. Don’t make blanket scary. Orang kata kenyataan eksploitasi kata barang akan naik 50 peratus. Ketika Covid-19 berapa susah yang kita ada pun, saya rasa tak adalah harga naik 50 peratus pun,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN