CHANGLUN – Kemasukan ramai warga India ke negara ini melalui sempadan Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung dipercayai menggunakan modus operandi penyalahgunaan status sebagai pelancong.
Pakar Kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, walaupun warga India dibenarkan masuk tanpa visa sebagai pelancong hingga 31 Disember ini, mereka tetap tertakluk kepada pemeriksaan ketat yang dilakukan dalam tiga peringkat utama.
Katanya, dalam saringan awal iaitu peringkat sebelum berlepas, mereka diwajibkan mengisi Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) dalam tempoh tiga hari sebelum ketibaan.
“Ini berfungsi sebagai pengisytiharan awal yang membolehkan pihak berkuasa melakukan saringan awal.
“Selain MDAC, Malaysia telah melaksanakan Sistem Penilaian Risiko (APS) mulai Disember tahun lalu.
“Sistem itu menggunakan maklumat penumpang daripada syarikat penerbangan seperti butiran pasport, rekod perjalanan, dan sejarah imigresen untuk menilai risiko lebih awal,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, pelawat yang dikesan mencurigakan boleh disekat sebelum mereka berlepas ke Malaysia.
Katanya, pemeriksaan di sempadan pula menggunakan kaedah pengesahan di kaunter imigresen.
“Setibanya di pintu masuk seperti Bukit Kayu Hitam, pegawai imigresen akan melakukan beberapa siri pemeriksaan rapi dan sesi soal siasat. Tujuan utama adalah untuk memastikan konsistensi maklumat dan menilai kebenaran niat lawatan.
“Aspek pemeriksaan melibatkan dokumen perjalanan, tiket, penginapan, dana kewangan dan tujuan lawatan,” ujarnya.
Menurutnya, pelancong tulen adalah mereka yang mempunyai pasport sah, tiket pergi dan balik sah, tempahan penginapan yang boleh disahkan, mampu menunjukkan bukti mempunyai wang mencukupi untuk menampung perbelanjaan semasa lawatan.
“Selain itu, mereka dapat menjelaskan tujuan lawatan sebagai contoh melancong atau melawat saudara dengan jelas dan konsisten,” katanya.
Sementara, individu berisiko yang kemasukan diragui pula adalah mereka yang mempunyai pasport tidak sah atau rosak, tiada tiket pulang, alamat penginapan samar-samar atau gagal dikemukakan, gagal menunjukkan bukti kewangan yang meyakinkan.
“Tujuan lawatan mereka ini juga tidak jelas atau bercanggah serta tidak dapat menjawab soalan pegawai dengan meyakinkan,” katanya.
Ujarnya, jika gagal dalam mana-mana aspek itu, pelawat boleh dihalang daripada turun dari pesawat atau bas serta dikenakan notis Not To Land (NTL).
Katanya, dari segi penguatkuasaan, jika warga asing berjaya melepasi pemeriksaan sempadan tetapi kemudian didapati bekerja atau tinggal lebih masa, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.
Kosmo! semalam melaporkan penduduk dan peniaga di Changlun mendakwa ramai warga India kini menjadikan pekan ini sebagai tempat transit sebaik melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara, sebelum menaiki bas ke Kuala Lumpur atau Johor Bahru.
Kira-kira 90 peratus daripada mereka adalah lelaki berusia 18 hingga 45 tahun yang masuk ke negara ini secara berkumpulan dengan membawa beg galas serta bagasi besar.














