fbpx
Keadaan kemalangan membabitkan kereta Honda City dan dua penunggang motosikal awal pagi semalam.

Pemandu Honda City didakwa langgar penunggang motosikal putus kaki, patah tangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kereta yang tular dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan dan dua buah motosikal awal pagi semalam, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan memandu secara melulu.

Bagaimanapun Tertuduh, T.S Kugenthiran, 25, mengaku tidak salah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Tengku Syazwany Yasmin Tuan Roslan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Kugenthiran didakwa memandu secara melulu yang merbahaya kepada Muhammad Afiq Zayani Azliyuszaini, 24, dan Muhammad Hairy Abdul Rahman, 19,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Sultan Ismail dari arah pusat bandar menghala ke arah Tuanku Abdul Rahman di sini pada 4.30 pagi pada 2 April lalu (semalam).

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun serta denda maksimum RM15,000 selain hilang kelayakan lesen memandu maksimum dua tahun.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nurbatrisyia Mohd. Razib menawarkan jaminan sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun peguam, Ahmad Nadzli Rizal yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan.

“Mohon jaminan pada jumlah minimum memandangkan tertuduh tidak mempunyai risiko melarikan diri selain memberikan kerjasama baik dengan pihak polis,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 15 Jun ini bagi sebutan semula kes.

Terdahulu media melaporkan dua penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang disyaki melanggar lampu isyarat merah di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi semalam.

Dalam kejadian pukul 4.27 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun cedera putus kaki kiri, manakala seorang remaja lelaki berusia 19 tahun patah tangan dan kaki kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN