fbpx
Norshafinaz (kiri) dan Nor Izyan (kanan) melahirkan rasa syukur atas langkah yang diambil syarikat penerbangan itu.

Seragam berhijab, kemenangan pramugari Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEPUTUSAN AirAsia untuk membenarkan pramugari Muslim mengenakan hijab ketika bertugas di awan biru bermula awal Ramadan lalu disifatkan sebagai satu langkah positif khususnya dalam mengangkat martabat wanita.

Dalam konteks ini, keputusan itu bukan sahaja mampu memperkasa kerjaya golongan wanita Muslim, malah turut membolehkan mereka yang berhijab mempunyai peluang setara untuk meneroka kelebihan dunia penerbangan.

Menurut seorang ketua pramugari, Norshafinaz Kamaruzaman, sifat terbuka pengurusan syarikat yang sentiasa mendengar pandangan dan saranan pekerja khususnya mengenai pemakaian hijab begitu dihargai pihaknya.

“Sebenarnya, setiap kali sesi ‘town hall’ yang diadakan, kami sentiasa menyuarakan pandangan kepada syarikat untuk meneliti pemakaian seragam berhijab kepada wanita Muslim ketika bertugas.

“Sebelum ini, seragam berhijab biasanya hanya dipakai untuk laluan Jeddah sahaja, namun sejak Ramadan lalu, kami dibenarkan untuk mengenakannya,” katanya ketika ditemui K-Wanita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 baru-baru ini.

Seragam berhijab tidak menjejaskan rutin di awan biru, sebaliknya memberikan lebih keyakinan untuk berdepan penumpang.

Pada masa sama, wanita berusia 41 tahun itu turut menzahirkan perasaan gembira dan syukur berikutan tidak menyangka AirAsia akan membenarkan pemakaian hijab untuk wanita Muslim.

“Apa saya boleh katakan, ini antara kemenangan kepada wanita Muslim apabila hijab menjadi sebahagian daripada seragam kami. Saya percaya, ramai pramugari sudah lama menantikan saat ini.

“Alhamdulillah, sejak dikuatkuasakan pada Ramadan lalu, semuanya berjalan dengan lancar, malah tugasan harian diselesaikan dengan cepat dan selesa memandangkan hijab perlu digayakan dengan seragam berseluar,” katanya.

Untuk maklumat, kebenaran mengenakan hijab ditawarkan kepada semua pramugari termasuk mereka yang bertugas di AirAsia X, sekali gus memaparkan imej kekuatan wanita Muslim di seluruh dunia termasuk Eropah.

Sementara itu, bercerita mengenai tugasan harian, Norshafinaz menjelaskan, seragam berhijab tidak menjejaskan rutin di awan biru, sebaliknya memberikan lebih keyakinan untuk berhadapan dengan penumpang.

“Seperti sebelum ini, sebagai pramugari kami perlu sentiasa bersedia dalam pelbagai aspek termasuk penampilan diri. Jadi, rutinnya masih sama, bezanya seragam kali ini perlu digayakan dengan hijab.

“Meskipun berhijab, ia bukan bermakna saya tidak perlu menjaga tata rias kerana aspek penampilan antara yang perlu diutamakan memandangkan ia antara polisi syarikat,” katanya.

Senada dengan Norshafinaz ialah seorang lagi pramugari iaitu Nor Izyan Syazwani Rapii yang turut melahirkan rasa syukur selepas dibenarkan untuk berhijab ketika bertugas di awan biru.

Jelas wanita berusia 36 tahun itu, pemakaian hijab bukan sahaja membolehkan seragamnya kelihatan lebih segar, malah memberikan keyakinan untuk bertugas di awan biru sebagai seorang wanita Muslim.

“Selain itu, saya juga sentiasa mendapat reaksi positif daripada penumpang termasuk warga asing yang memuji seragam terbaharu ini selain menyifatkan langkah itu sebagai sangat tepat.

“Melihat kepada reaksi itu, saya berasa begitu bersyukur kerana penampilan terbaharu ini begitu disambut baik, seterusnya mampu menjadi contoh kepada syarikat penerbangan lain untuk mengambil langkah sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN