KUALA LUMPUR – Detik cemas berdepan ancaman komunis dan kisah pengorbanan anggota keselamatan ketika darurat diabadikan dalam naskhah khas berjudul ‘Jasa Mu Dikenang’ yang dilancarkan semalam.
Buku setebal 128 muka surat itu menghimpunkan pelbagai pengalaman anggota Special Constable (SC) termasuk pertempuran dalam hutan, serangan hendap serta tragedi menyayat hati melibatkan mangsa jerangkap samar.
Pemangku Yang Dipertua Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia (PBPKNM), Ahmad Zaki Ibrahim berkata, penerbitan buku itu bertujuan merakam sejarah ringkas perjuangan pasukan keselamatan untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.
Katanya, ia turut merangkumi latar penubuhan persatuan pada 1995 yang berperanan menjaga kebajikan bekas anggota serta keluarga mereka, selain mengeratkan hubungan sesama ahli.
“Buku ini kita hasilkan sebagai satu usaha mendokumentasikan kisah-kisah perjuangan ketika era darurat, termasuk operasi di kawasan hutan seperti Ulu Kinta, Grik dan beberapa lokasi lain yang menjadi medan pertempuran dengan komunis.
“Banyak kisah yang sebenarnya boleh dikongsikan, namun untuk permulaan kita himpunkan tiga kisah utama terlebih dahulu daripada keseluruhan 14 unit pasukan di bawah naungan persatuan,” katanya.
Majlis pelancaran buku berkenaan dilancarkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Turut hadir, Penasihat Diraja Persatuan Bekas Pasukan Keselamatan Negara Malaysia, Tengku Puteri Rosmawini Tengku Datuk Muiz Shah Tengku Temenggong Abdul Aziz Abdullah.
Berikut itu, Ahmad Zaki, pihaknya merancang untuk menerbitkan lebih banyak kisah individu anggota yang terlibat dalam operasi keselamatan negara secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Mengulas lanjut, Ahmad Zaki berkata, sebanyak 120 naskhah dicetak sebagai edisi permulaan dan tidak dijual kepada umum, sebaliknya diberikan sebagai cenderamata kepada bekas anggota keselamatan serta penaja program.
“Buat masa ini kita tidak menjual buku ini kerana kos penerbitan agak tinggi, namun tidak menolak kemungkinan ia akan dipasarkan pada masa akan datang,” ujarnya.
Pelancaran buku tersebut dilihat sebagai satu usaha penting dalam memastikan sejarah perjuangan pasukan keselamatan negara tidak dilupakan, sekali gus menjadi sumber rujukan generasi baharu dalam memahami erti pengorbanan mempertahankan.














