KUALA NERUS – Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu (JKST) mengambil inisiatif menjadikan ruang tamu sebuah rumah di daerah ini sebagai kamar mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai melibatkan seorang pesakit terlantar pada kelmarin.
Jurucakap Unit Korporat JKST berkata, inisiatif mahkamah bergerak itu diambil Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kuala Nerus memandangkan responden kes tersebut tidak mampu hadir ke mahkamah.
“Respondan menghidap penyakit kronik iaitu diabetes dan komplikasi buah pinggang selain bergantung sepenuhnya kepada bantuan oksigen.
“Hakim Syarie Ahmad Najib Mohd. mengambil keterangan secara terus di sisi katil responden yang sedang menerima rawatan demi keadilan,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap Unit Korporat JKST berkata, pelaksanaan prosiding di luar premis mahkamah itu tetap mematuhi prosedur ditetapkan bagi menjamin integriti perbicaraan.
Beliau berkata, pengisytiharan kediaman sebagai kamar mahkamah selaras dengan peruntukan undang-undang bagi memastikan setiap proses berjalan mengikut lunas kehakiman.
“Ia bersandar Enakmen Seksyen 129 Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001 yang membenarkan perubahan lokasi perbicaraan serta Seksyen 242(1) akta sama berhubung pengambilan keterangan di tempat sesuai.
“Selain itu, Seksyen 244 turut memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengeluarkan sebarang perintah bagi mengelakkan ketidakadilan khususnya dalam memastikan status perceraian tidak terus tergantung,” katanya. – KOSMO! ONLINE














