TANJUNG MALIM – Polis Perak memperketatkan kawalan sempadan Malaysia – Thailand akses darat iaitu di Pengkalan Hulu di Gerik bagi membendung penyeludupan minyak diesel dari negara jiran itu yang mampu menjejaskan pasaran tempatan.
Ini berikutan harga minyak diesel di Thailand yang secara relatifnya lebih murah iaitu sekitar RM4 hingga RM5.02 seliter berbanding RM6.02 seliter di negara ini.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, pihaknya peka terhadap perkara itu yang menyebabkan kawalan sempadan negara di negeri ini dipertingkatkan.
“Polis ambil maklum. Bermakna Perak bersempadan dengan Thailand di Pengkalan Hulu dan memang kita mempertingkatkan baik rondaan oleh pasukan keselamatan seperti Pasukan Gerakan Am (PGA).
“Kita peka benda ini, dan memang kita tingkatkanlah,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Muallim dan Pengerusi Perkep Daerah Muallim di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim di Tanjung Malim hari ini.
Superintendan Khalid Mohamad dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Muallim yang baharu berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Senior Asisten Komisioner Mohd. Hasni Mohd. Nasir yang dinaikkan pangkat menjawat jawatan Penolong Pengarah (D4) Risikan, Operasi, Rekod Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Katanya lagi, pihaknya memantau dengan serius perkembangan konflik Asia Barat yang berlaku sekarang terutama melibatkan aspek keselamatan dan ekonomi.-KOSMO! ONLINE.














