TANGKAK – Seorang remaja lelaki ditemui lemas dalam satu kejadian menyayat hati di Air Terjun Gunung Ledang, Tangkak lewat petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hairul Anuar Ali berkata, pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 5.27 petang.
Katanya, pihak bomba tiba di tempat kejadian, didapati seorang mangsa telah terjatuh dan lemas semasa melakukan aktiviti mandi-manda bersama dua lagi rakan mangsa.
“Mangsa dipercayai tergelincir dari atas batu dan terjatuh ke dalam air kedalaman lebih kurang tujuh kaki.
“Mayat mangsa, Muhammad Zaffran Abu Samah, 15, dijumpai oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di tempat kejadian dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, mmayat mangsa di bawa ke Hospital Tangkak bagi proses bedah siasat dan operasi ditamatkan pukul 6.28 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib mengesahkan kejadian yang masih dalam siasatan dan tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE














