KUANTAN – Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang yang dikendalikan oleh Yayasan Pahang terus mencipta kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti sebelum ini.
Keputusan terbaharu yang diumumkan kelmarin menyaksikan 40 daripada 70 calon MTNP mendapat semua A dengan merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.06, manakala Maahad Tahfiz Turath merekodkan GPS 0.60 apabila 40 daripada 48 calonnya memperoleh keputusan semua A.
Hakikat di sebalik kejayaan dua institusi itu adalah bantuan berterusan yang diberikan Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Kedua-dua Maahad Tahfiz yang diinspirasikan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu juga sering mendapat perhatian baginda dalam memastikan kecemerlangan berterusan pelajarnya.
Bagi pelajar MTNP, Muhammad Luqman Mohammad Aqsa, 18, kejayaan memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam SPM adalah titik permulaan untuk mengubah nasib keluarga.
Katanya, pelbagai bantuan yang diterima ketika berada di maahad berkenaan, termasuk biasiswa daripada kerajaan negeri membuatkannya dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan tidak membebankan kedua ibu bapa.
“Terima kasih kepada Yayasan Pahang yang telah memberi saya peluang untuk menjalani program biasiswa di sini.
“Alhamdulillah saya mendapat tajaan penuh dan setiap bulan saya mendapat elaun daripada pihak Yayasan Pahang. Banyak bantuan daripada Yayasan Pahang yang saya terima,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman SPM 2025 di MTNP, di sini.
Cerita anak kelahiran Bentong ini, dia nekad untuk belajar bersungguh-sungguh selepas secara tidak sengaja terdengar keluhan bapanya, Mohammad Aqsa Abd. Wahab mengenai masalah kewangan dihadapi.
“Ketika itu kereta ayah rosak, jadi saya datang mengambilnya dengan motosikal. Ketika membonceng motosikal bersama ayah, saya dengar dia mengeluh tidak cukup duit untuk baiki kereta.
“Detik itu sangat menyentuh perasaan saya sekali gus tekad berusaha mengubah nasib keluarga,” ujar anak kepada pembantu kantin sekolah dan suri rumah itu.

Seorang lagi pelajar MTNP, Nur Fatin Syuhada Ahmad Najami yang memperoleh keputusan 10A berkata, dia amat bersyukur diterima masuk ke maahad tahfiz berkenaan yang bukan sahaja menyediakan biasiswa tetapi juga menyediakan pelbagai kemudahan lengkap untuk belajar, bersukan dan riadah.
“Sebelum ini saya rancang mahu menyambung pengajian di dalam negara, namun sekarang saya bercadang untuk melanjutkan pengajian di universiti luar negara dan akan memohon tajaan terlebih dahulu,” katanya.
Intervensi pendidikan di bawah Kerajaan Negeri Pahang turut menjadi pemangkin kejayaan pelajar di sekolah harian.
R. Shanmugan, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tualang, Temerloh mencatatkan 8A+ dan 1A dalam aliran Sains Tulen hasil gabungan usaha gigih, sokongan keluarga serta bantuan pendidikan yang disediakan kerajaan negeri.
Menurutnya, penyediaan buku rujukan dan buku latihan di bawah Inisiatif Makmur Pahang ketika di Tingkatan Lima banyak membantunya serta pelajar lain menghadapi peperiksaan penting berkenaan.
“Kerajaan negeri sediakan buku latihan dan rujukan untuk empat subjek utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
“Soalan dalam buku itu digubal oleh guru pakar dan cemerlang. Ia sangat menepati format SPM sebenar, jadi saya lebih mudah faham dan fokus kepada topik penting,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Slip Peperiksaan SPM 2025 di Dewan Ibnu Sina, SMK Seri Tualang.

Shanmugan berkata, inisiatif kerajaan negeri itu sangat membantu kerana bukan semua pelajar mampu membeli buku rujukan.
“Bila semua ada buku sendiri, lebih mudah untuk kami fokus dalam pembelajaran tanpa ketinggalan.
“Selain itu, saya dan rakan-rakan juga menerima kit persekolahan serta makanan percuma sepanjang tempoh peperiksaan yang membantu kami lebih tenang dan fokus ketika menjawab soalan,” katanya.
Anak bongsu daripada empat beradik itu turut menzahirkan rasa terima kasih atas pengorbanan ibu bapanya, S. Bhuvaneswari, 59, dan M. Ragunathan, 60, yang berulang-alik sejauh kira-kira 40 kilometer setiap hari untuk menghantarnya ke kelas tambahan.
“Saya juga sangat terhutang budi kepada guru-guru yang tidak jemu mengadakan kelas tambahan termasuk ketika cuti sekolah,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, 21,043 calon telah mendaftar untuk menduduki SPM 2025 di negeri ini dengan 96.52 peratus memperoleh layak sijil, manakala 671 calon beroleh A dalam semua mata pelajaran.
Ujarnya, pencapaian berkenaan tidak hadir secara kebetulan, sebaliknya merupakan hasil usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pendidikan.
“Kerajaan negeri akan terus meletakkan pendidikan sebagai antara agenda utama pembangunan negeri selaras dengan Aspirasi Pahang First kerana saya yakin bahawa pendidikan merupakan asas terpenting dalam membina masa depan negeri yang lebih gemilang,” tegasnya.














