ALOR SETAR – Sindiket penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand kini semakin tersusun dan strategik, tidak lagi bergerak secara kecil-kecilan sebaliknya beroperasi dalam rangkaian terancang membabitkan dua negara.
Pakar Kriminologi, Dr. Zalmizy Hussin berkata, sindiket biasanya mempunyai peranan yang jelas seperti pengangkut, pemberi maklumat dan pengurus logistik.
“Dalam banyak kes, mereka juga memantau pergerakan pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti penyeludupan. Ini menjadikan operasi penguatkuasaan lebih sukar kerana sindiket mampu menukar laluan atau masa operasi dengan cepat bagi mengelak dikesan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, sindiket juga dikesan semakin berani dan agresif susulan insiden tembakan yang disasarkan kepada Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam pada 25 Februari lalu.
“Kejadian itu menonjolkan bahawa jenayah di sempadan semakin berani dan agresif. Apabila sindiket memperoleh keuntungan besar daripada penyeludupan, mereka mungkin sanggup menggunakan kekerasan untuk melindungi operasi mereka.
“Sebab itu, pakar keselamatan melihat insiden ini sebagai petanda bahawa tahap risiko terhadap anggota penguat kuasa di barisan hadapan semakin meningkat,” ujarnya.
Jelasnya, daripada perspektif kriminologi, serangan seperti itu sering mempunyai fungsi intimidasi.
“Sindiket jenayah yang terjejas akibat operasi rampasan atau penguatkuasaan kadangkala menggunakan taktik keganasan bagi menakutkan atau memberi amaran kepada pihak berkuasa.
“Pemilihan sasaran yang berprofil tinggi seperti komander sempadan menunjukkan bahawa serangan itu berpotensi bertujuan menghantar mesej kepada anggota penguat kuasa lain supaya mengurangkan tekanan terhadap aktiviti penyeludupan,” katanya.
Menurut beliau, keadaan geografi sempadan yang kompleks juga menjadi cabaran utama kepada pihak berkuasa.
“Struktur fizikal sempadan yang sukar dikawal turut menjadi cabaran besar. Sempadan Malaysia-Thailand melibatkan kawasan yang luas dengan pelbagai bentuk muka bumi seperti hutan, bukit dan sungai.
“Keadaan itu menyukarkan pemantauan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa kerana tidak semua kawasan boleh dipantau secara berterusan. Selain itu, pergerakan keluar masuk di pintu sempadan yang tinggi juga menambah tekanan kepada penguat kuasa untuk menapis setiap pergerakan dengan teliti,” katanya.
Kata beliau, cabaran lain adalah kewujudan banyak laluan tidak rasmi atau laluan tikus di sepanjang sempadan yang sering digunakan sindiket untuk mengelakkan pemeriksaan di pintu masuk rasmi.
“Ada laporan yang menunjukkan puluhan laluan haram digunakan bagi menyeludup pelbagai perkara seperti dadah, barangan seludup dan juga manusia.
“Laluan ini biasanya terletak di kawasan hutan atau kampung yang sukar dipantau secara berterusan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














