fbpx
Tangkap layar hantaran video oleh Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi dusuki di media sosialnya semasa panggilan video bersama ibu kepada arwah mangsa hari ini.

Dua zuriat Amirul Hafiz jadi anak angkat Mara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengambil dua anak penunggang motosikal, Mohd. Amirul Hafiz, 33, yang maut dipercayai dirempuh pemandu mabuk Ahad lalu sebagai anak angkat.

Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua beradik dikenali Aqif dan Atif itu kini menjadi anak angkat Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Menurutnya, keputusan itu diambil atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan pihaknya bagi memastikan masa depan pendidikan anak-anak mangsa terus terbela susulan kehilangan tempat bergantung.

Katanya, kedua-dua mereka akan menerima bantuan elaun bulanan sebanyak RM120 seorang bagi sekolah rendah dan RM150 apabila mereka melangkah ke sekolah menengah.

“Ini bukan sekadar bantuan sementara, tetapi satu komitmen jangka panjang. Pemantauan berterusan akan dilakukan sehingga mereka menamatkan persekolahan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf sempat melakukan panggilan video bersama ibu Allahyarham Amirul Hafiz, Faridah.

“Dalam nada penuh sebak, Faridah berkongsi bahawa arwah adalah seorang anak yang baik dan sentiasa berusaha membahagiakan keluarga. Kehilangan ini amat dirasai kerana arwah merupakan tempat bergantung anak-anak yang masih kecil.

“Kepada adik Aqif dan Atif, teruslah kuat dan tabah. Belajarlah bersungguh-sungguh dan jadilah kebanggaan keluarga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN