PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan enam negeri hingga pukul 1 pagi ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka melanda beberapa kawasan di Semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.
Kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh negeri Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan Kelantan (Jeli dan Tanah Merah).
Sementara itu, di Sarawak, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Sri Aman dan Kapit (Song) manakala di Sabah melibatkan Pedalaman (Nabawan) dan Tawau (Tawau).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














