fbpx
Gambar hiasan

Budi Diesel kekal RM300 April ini, manfaat 340,000 penerima

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan mengekalkan bantuan Budi Madani Diesel (Budi Diesel) pada kadar RM300 bagi April ini sebagai langkah melindungi rakyat susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, bantuan tambahan interim RM100 diteruskan, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bagi kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi kekal sebanyak RM300 sebulan.

Menurut kementerian itu, bantuan berkenaan akan mula disalurkan pada 8 April ini, melibatkan kira-kira 340,000 penerima dengan peruntukan sekitar RM102 juta.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan peka dan prihatin terhadap tekanan yang dihadapi oleh rakyat susulan kenaikan harga bahan api global.

“Langkah ini dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan pengguna diesel, khususnya individu serta sektor agri-komoditi, supaya terus menerima sokongan serta melindungi mereka dari terdedah sepenuhnya kepada kenalkan harga bahan api global,” katanya hari ini.

Sejak diperkenalkan pada Mei 2024 katanya, inisiatif Budi Diesel telah menyalurkan bantuan tunai berjumlah RM1.12 bilion bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Menurut MoF, pendekatan bersasar yang dilaksanakan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping mengekalkan disiplin fiskal negara dalam suasana tekanan ekonomi global.

Dalam masa sama, kerajaan sedang meneliti langkah jangka sederhana dan panjang bagi memastikan sistem subsidi kekal mampan, telus dan terus memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerajaan terus memantau rapi perkembangan pasaran tenaga global dan bersedia mengambil langkah tambahan dengan segera bagi memastikan bekalan kekal stabil dan mencukupi,” katanya.

Tambah kenyataan itu, penguatkuasaan turut dipertingkat bagi membendung penyelewengan serta memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar.

Permohonan Budi Diesel dibuka sepanjang tahun melalui laman sesawang rasmi https://budidiesel.gov.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN