SHAH ALAM – Tahap kesedaran bakal jemaah haji untuk menyediakan dokumentasi wasiat kepada keluarga atau waris masih rendah di negeri ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata,
penyediaan wasiat penting bagi merancang pembahagian harta jika meninggal dunia ketika bermusafir haji.
Menurutnya, pemerhatian bagaimanapun mendapati masih ramai umat Islam tidak menyedari kepentingan untuk melakukannya.
“Kesedaran mereka termasuk bakal jemaah haji itu sememangnya masih rendah dan tidak mencapai tahap memberangsangkan. Keadaan itu antaranya kerana faktor belum bersedia, usia masih muda dan tidak mempunyai harta yang banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Wasiat Dhuyufurrahman yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor di Dewan Jamuan Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, petang ini.
Tegasnya, penyediaan wasiat turut mengurangkan risiko pertikaian dalam kalangan waris sekali gus mengelak berlaku isu harta pusaka beku.
“MAIS mempunyai kuasa sebagai wasi, pentadbir harta pusaka dan pemegang amanah harta orang Islam selaras Subseksyen 5(4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Justeru, kita mempergiatkan usaha itu dengan menawarkan harga promosi serendah RM200 sehingga 20 Mei depan terutama kepada bakal jemaah haji, bagi pengurusan harta lebih teratur dan selaras tuntutan syarak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














