KUANTAN – Calon yang mendapat semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang tahun ini meningkat kepada 671 orang berbanding 595 orang calon pada tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan Negeri Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, berdasarkan keputusan itu bilangan calon yang mendapat keputusan cemerlang menunjukan peningkatan sebanyak 76 orang atau 0.34 mata.
“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 4,859 calon berbanding 4,500 calon pada 2024.
“Di samping itu, seramai 6,746 calon memperoleh sekurang- kurangnya lulus atau gred E dalam semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2025 berbanding 6,513 calon pada 2024,”katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau berkata, Gred Purata Negeri (GPN) bagi pencapaian calon peperiksaan SPM 2025 bagi negeri Pahang meningkat kepada 4.08 mata berbanding 4.23 mata pada tahun sebelumnya.
Tambahnya, Gred Purata Sekolah Mengikut Lokasi Pencapaian (GPS) bagi sekolah bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan.
“Ini adalah hasil daripada usaha bersepadu memperkasakan sekolah melalui pendekatan sokongan berfokus, pemantauan berimpak tinggi serta intervensi instruksional yang sistematik,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE














