KUALA NERUS – Pengurusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara diberi autonomi untuk mempertimbangkan mod pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian berikutan cuaca panas dan krisis Asia Barat pada masa ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, PdP dalam talian dibenarkan sekiranya pengurusan IPTA merasakan ia satu keperluan.
“Kita mengambil pendekatan lebih fleksibel dengan setiap (pengurusan) universiti yang mengambil keputusan masing-masing kerana keadaan di setiap kampus (IPTA) berbeza.
“Pendekatan PdP dalam talian bukan sukar untuk dilakukan, hampir semua universiti pernah melakukannya sewaktu (pandemik) Covid-19, musim banjir malah pada bulan puasa (baru-baru ini),” katanya di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui pada program Sembang Santai bersama Pelajar UniSZA dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Dalam perkembangan sama, Zambry berkata, mod PdP dalam talian juga boleh boleh menjadi pilihan penjimatan tenaga elektrik dalam premis Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang disarankan kerajaan pada masa ini berikutan krisis tenaga Asia Barat.
Beliau memberitahu, begitupun, PdP dalam talian hanya dibenarkan melibatkan kokurikulum yang tidak memerlukan kehadiran fizikal.
“KPT juga menjalin kerjasama erat dengan Kementerian Luar memantau keberadaan dan keselamatan pelajar-pelajar kita yang berada di Asia Barat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














